Cari @ Amanz

GIGABYTE Project Stealth Ialah Binaan Komputer Desktop Kemas Tanpa Kelibat Kabel

Oleh Nazrin

Link Copied!

Salah satu masalah terbesar untuk seorang pembina komputer ialah menyelesaikan masalah kabel-kabel yang disambungkan kepada pelbagai jenis komponen didalamnya. Secara lazimnya, pembina akan perlu mengharapkan bahawa rangka komputer mempunyai ruang yang mencukupi untuk menyorokkan kabel-kabel ini.

Dengan itu, GIGABYTE, jenama komponen komputer yang terkemuka telah memperkenalkan komponen-komponen komputer Project Stealth yang terdiri daripada papan induk, kad grafik dan rangka komputer yang membantu dalam membina sebuah komputer yang kemas dan bebas daripada semak kabel.

Komponen-komponen ini terdiri daripada papan induk Aorus Z690 Elite Stealth, kad grafik Aorus RTX 3070 Stealth dan rangka komputer Aorus C300G Stealth. Seperti contoh, papan induk dan kad grafik Project Stealth ini menyorokkan kabel dari pandangan hadapan dengan memperkenalkan palam-palam kuasa dan semua palam-palam lain seperti I/O, kipas dan sebagainya di bahagian belakang komponen, memudahkan penghalaan kabel dan membolehkan pengguna memperlihatkan binaan yang serba kemas dari depan.

Daripada apa yang kami dapat lihat, selain daripada papan induk, komponen kad grafik dan rangka komputer boleh digunakan dengan komponen-komponen bukan dari siri ini. Papan induk Aorus Z690 Elite Stealth ini dilihat akan memberi masalah pemasangan khususnya kerana palam-palam kuasa pada papan induk ini dipasang di bahagian belakang, dan adalah agak sukar untuk dipasang pada rangka-rangka yang lain.

Buat masa ini, siri komponen GIGABYTE Project Stealth ini hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat buat masa ini. Kami telah mengajukan soalan kepada GIGABYTE Malaysia jika ia akan dijual di pasaran tempatan kelak, dan sedang menunggu jawapan daripada mereka.


Komen ()