MSI Memperlihatkan Rekaan Logo Baru Untuk Membezakan Siri Komponen Dan Komputer Mereka

Diterbitkan pada Mei 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

MSI, jenama pembuat komponen komputer dan komputer riba terkemuka baru-baru ini telah memperkenalkan beberapa logo baru untuk memudahkan orang ramai membezakan siri-siri komponen dan juga komputer mereka, dan membolehkan mereka membuat keputusan untuk model apakah yang paling sesuai dengan keperluan dan juga kemampuan mereka.

Tiga logo baru ini diperlihatkan untuk siri MSI MEG, MSI MPG dan juga MSI MAG yang membahagikan penawaran kelas premium bangsawan, arus utama dan untuk mereka yang baru mahu berkecimpung didalam hobi permainan komputer.

Mengambil ilham daripada simbol tamadun silam. siri komponen MSI MEG secara lazimnya dilihat sebagai penawaran kelas bangsawan dan premium, dan dipenuhi dengan fungsi dan ciri-ciri yang membolehkan pengguna untuk memaksimakan prestasi sesebuah binaan komputer.

Logo MSI MPG baru pula direka dengan elemen-elemen kultur pop moden yang memperlihatkan komponen dan komputer dalam siri ini sebagai peranti-peranti kelas arus perdana bagi mereka yang masih mahukan prestasi hebat, tetapi tidak begitu risau mengenai fungsi-fungsi tambahan yang hanya akan dimanfaatkan oleh individu-individu tertentu.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri komponen dan komputer MSI MAG pula diperkenalkan untuk mereka yang baru mahu memasuki hobi gaming berkomputer. Logo siri ini hadir dengan sedikit tema ketenteraan untuk menunjukkan seperti bahawa mereka adalah rekrut baru dalam kumpulan ini.

MSI dijangka akan memperkenalkan logo-logo baru ini pada kotak-kotak mereka tidak lama lagi. Ia dijangka bahawa dengan logo baru ini, orang ramai akan dapat mengenali dengan sekilas pandang tentang produk-produk yang dibeli dan juga spesifikasi yang ditawarkan.

komen


© Amanz / 2022 Kami