ZOTAC ialah jenama pembuat komponen komputer yang terkemuka, dan beberapa tahun lalu, telah memperkenalkan komputer beg galas VR GO yang merupakan cara sangat mudah untuk menggunakan set kepala realiti maya pada waktu tersebut.

Terkini, sewaktu acara COMPUTEX 2022 yang sedang berlangsung, ZOTAC telah memperlihatkan generasi keempat komputer beg galas tersebut yang dinamakan ZOTAC VR GO 4.0. Komputer ini memperlihatkan rekaan serba baru, dan palam-palam I/O seperti palam USB, palam HDMI dan DisplayPort boleh dilihat di bahagian tepi dan membolehkannya diakses dengan mudah.

Dari segi komponen, komputer ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 terbaru, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe bersaiz 512GB yang cukup besar untuk sejumlah permainan-permainan komputer realiti maya hari ini. Ia juga menggunakan kad grafik NVIDIA RTX A4500 yang berdasarkan cip grafik NVIDIA Ampere sama seperti apa yang digunakan pada siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000.

ZOTAC turut mengatakan bahawa komputer ZOTAC VR GO 4.0 ini boleh menyokong sejumlah besar set-set kepala realiti maya, terimbuh dan campuran moden secara terus tanpa masalah. Sebagai sebuah beg galas, ia juga hadir dengan strap berpad dan menggunakan bahan kalis peluh untuk pengguna yang mahu memasuki alam realiti maya untuk berjam.

Komputer VR GO 4.0 ini juga mempunyai sistem bateri modular yang boleh ditukar dengan mudah, dan setiap pek bateri ini dilihat boleh digunakan selama 50 minit dengan satu pengecasan penuh. Bahagian komputer beg galas ini juga direka untuk memastikan bahawa terdapat ruang diantara belakang anda dan juga bahagian komputer supaya udara panas lebih mudah dialirkan ke luar.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ZOTAC akan mula menjual komputer beg galas ini.