IKEA mempunyai beberapa inisiatif bagi menjadikan produk dan operasi mereka lebih lestari. Antara yang telah diperkenalkan ialah manual yang membolehkan perabot sedia ada diubahsuai untuk menjadi perabot yang lain. Mereka kini memperlihatkan beberapa rekaan baharu menerusi makmal rekaan Space10 mereka.

Siri perabot yang diberi nama Updatables ini boleh dikitar-naik untuk menjadi produk lain selepas pengguna tidak lagi mahu menggunakannya seperti rekaan asal. IKEA membayangkan di masa hadapan aplikasi dengan teknologi realiti terimbuh (AR) boleh mengimbas perabot sedia ada sebelum memberikan saranan rekaan baharu.

Dengan ini apabila perabot lama tidak lagi ingin digunakan atau tidak lagi sesuai untuk ruang di rumah, komponennya boleh ditanggalkan dan disambung semula seakan Lego bagi menjadi produk lain yang lebih serasi dengan keperluan baharu.
