Microsoft Menguji Ciri Kongsi Fail Merentas Peranti Melalui Edge

Diterbitkan pada Mei 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat banyak perkhidmatan berkongsi fail di antara peranti yang kita boleh gunakan. Android ada Nearby Share, Apple ada AirDrop, Send Anywhere antara aplikasi pihak ketiga yang kami gunakan, Files daripada Google juga cukup menarik atau pengguna turut boleh menggunakan perkongsian fail antara peranti Samsung dengan Windows melalui Your Phone.

Microsoft terkini menguji ciri baharu untuk fungsi yang sama pada pelayar web mereka Microsoft Edge. Ciri ini digelar sebagai Drop dan membenarkan pengguna berkongsi fail di antara peranti terus pada pelayar web.

Ciri ini boleh diakses pada bar sisi di Edge, di mana akan ada antaramuka seakan platform pemesejan – cuma pengguna perlu menghantar fail ke diri sendiri. Pengguna boleh menghantar pelbagai jenis fail atau juga teks seperti Telegram yang membenarkan pengguna mereka mesej diri sendiri.

Daripada imej yang dikongsi oleh sumber, ia dilihat menggunakan sistem OneDrive kerana terdapat status storan yang telah digunakan. Ini bermakna jika pengguna ingin kongsi satu fail arkib, ia sebenarnya mungkin memuat naik ke OneDrive melalui Edge dan boleh muat turun fail tadi pada Edge di telefon tanpa membuka OneDrive.

Buat masa ini ciri ini masih dalam proses ujian dan hanya pengguna Microsoft Edge Insider versi Canary sahaja dapat mengujinya. Jika ia sudah dilancarkan kelak, adakah anda rasa ciri ini berguna dan akan menggunakannya?

komen


© Amanz / 2022 Kami