Carian
Ulasan Honor Magic4 Pro – Penuh Ilusi Seperti Houdini
June 1, 2022 Effi Saharudin

Honor ingin mengambil ruang yang dahulunya diduduki oleh Huawei. Malah kesemua peranti terkini mereka yang dilancarkan mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding bekas syarikat induk mereka lebih-lebih lagi dari segi sokongan 5G dan juga sokongan Google Mobile Services yang amat diperlukan pengguna Android di Malaysia.

Satu kelebihan Huawei yang masih belum mampu dipintas oleh Honor ialah prestasi kamera. Satu tangga di bawah kerana kelebihan Huawei terletak pada kerjasama mereka dengan Leica. Tetapi dengan kerjasama ini baru sahaja berakhir, Honor kini boleh berdiri sama tinggi menerusi Honor Magic4 Pro yang baru dilancarkan di Malaysia.

Spesifikasi Dan Rekaan

Honor Magic4 Pro
Skrin6.81″ OLED,
1312 x 2848 pixel, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8 GB
Muatan Dalaman256 UFS
Kamera Utama50+50+64+3D ToF Megapixel f/1.8+f/2.2+f/3.5, OIS
Kamera Swafoto12 f/2.2 + 3D ToF Megapixel
Bateri4600 mAh
Pengecasan berwayar 100W
Pengecasan nirrwayar 100W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin/ Wajah 3D
Harga JualanRM3999 (8/256GB)

Rekaan peranti mengingatkan kami kepada Huawei Mate 40 Pro kerana dilengkapi skrin OLED yang besar dengan ianya melengkung pada bahagian sisi. Dengan saiz 6.81″ ianya sama dengan skrin Galaxy S22 Ultra yang kami rasakan sebagai pesaingnya yang terhampir di pasaran sekarang. Skrin ini menyokong kadar segar semula 120Hz dinamik, dan HDR10+. Pengguna boleh memilih untuk mengubah kadar semula ke 60Hz, 90Hz atau 120Hz sepanjang masa sekiranya perlu tetapi resolusi sahaja tidak boleh diubah.

Skrin cantik, terang, memaparkan warna yang baik dan responsif terhadap sentuhan semasa diuji. Mod HDR yang disokong boleh mencecah sehingga keterangan 1000 nits yang lebih dari mencukupi untuk pelbagai kandungan di platform pestriman. Tiada isu untuk memaparkan kandungan HDR dari perkhidmatan penstriman popular YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar dan juga Amazon Prime.

Isu yang ada adalah yang biasa kami katakan dengan skrin dwi-lengkung. Imej atau video melimpah keluar sehingga kadang kala elemen antaramuka yang ingin ditekan tersorok ke sisi sehingga sukar diakses. Kami bukan peminat rekaan skrin melengkung kerana ia lebih banyak mendatangkan masalah berbanding ciri tambahan yang menarik. Memang peranti kelihatan seperti mempunyai bezel sisi yang ultra-nipis tetapi ini hanya ilusi optik.

Bingkai logam berkilat yang kukuh mengelilingi tubuh peranti bagi memastikan Magic4 Pro tidak akan melentur. Panel belakang diperbuat daripada kaca yang berkilat dan oleh itu mudah kotor. Bonggol kamera di bahagian belakang ini juga agak besar. Sama besar sebenarnya dengan Mate 40 Pro yang kami ulas sebelum ini.

Oleh sebab itu walaupun diletakkan di atas meja, peranti masih boleh diletakkan rata memandangkan bonggol ini besar dan juga rata. Honor memberikan sebuah kerangka silikon dengan setiap pembelian dan isu kekotoran panel belakang dan bonggol gergasi ini diselesaikan tanpa pembeli mengeluarkan wang tambahan.

Butang kuasa dan juga laras audio terletak pada sisi kanan. Ianya kukuh dan tidak terasa murahan. Talam dwi-SIM nano diletakkan di bawah tetapi tiada sokongan kad mikro SD diberikan. Ia menghimpit port pengecasan USB-C bersama dengan sebuah kekisi audio juga di bahagian bawah.

Di bahagian atas pula terdapat satu lagi kekisi audio yang menembak ke sisi dan pemancar infra merah yang semakin tidak dapat dilihat lagi pada peranti mercu sekarang. Keputusan yang baik kerana kebanyakan TV pintar sekarang menggunakan aplikasi untuk berfungsi tetapi ia menyusahkan. Sokongan alat kawalan jauh terbina tidak memerlukan tambatan WiFi ataupun bluetooth maka lebih pantas digunakan.

Walaupun saiz peranti adalah besar, ia masih selesa digunakan dengan sebelah tangan. Sejak lima tahun kebelakangan ini saiz skrin 6.5″ ke atas tidak lagi dianggap terlalu besar kerana sudah dianggap sebagai standard. Malahan apabila menggunakan semula peranti seperti iPhone SE 2022, peranti ini terasa sukar digunakan kerana terasa terlalu kecil.

Keseluruhan tubuh melepasi piawaian IP68 maka tiada kerisauan ia rosak jika anda terperangkap dalam hujan lebat atau tertumpah air. Dalam zaman penghujung pandemik, kemampuan membasuh telefon yang kotor dengan air masih lagi kami rasakan perlu. Malahan pada peranti kelas mercu, IP68 wajib ada dan ketiadaannya tidak lagi boleh dimaafkan.


Penggunaan Dan Perisian

Peranti menggunakan Android 12 dengan pelancaran Magic UI 6 yang amat mirip dengan EMUI 12. Kami melihat ini dari segi positif di mana pengguna Huawei yang inginkan peranti mercu sebenar dengan 5G dan GMS boleh berhijrah ke peranti Honor dengan cukup mudah tanpa lengkung pembelajaran yang besar. Rekaan antaramukanya minimalis dan mudah difahami kerana mengekalkan banyak elemen dari Android 12 asli.

Dari sudut negatif pula ia mengingatkan kami bahawa Honor masih lagi dalam bayang-bayang Huawei. Untuk mereka benar-benar menjadi jenama yang bergerak secara kendiri, kami merasakan Magic UI perlu menerima rekaan semula dengan identiti tersendiri.

Apa yang kami paling sukakan dengan Magic UI ialah ianya pelancar yang berfungsi dengan amat lancar. Terasa lebih pantas dan responsif berbanding MIUI dan One UI. Pada dua pelancar yang kami sebutkan tadi, peranti perlu mempunyai 12GB RAM untuk memberikan pengalaman kelancaran yang paling optimum. Magic4 Pro yang kami ulas ini hanya dilengkapi 8GB RAM tetapi lebih sedap digunakan berbanding Xiaomi 12 Pro dan Galaxy S22 Ultra.

Honor mengekalkan DNA EMUI yang terkenal dengan kemampuannya berfungsi dengan lancar tanpa memerlukan RAM yang besar. Kami masih belum dapat menguji sama ada optimasi perisian sebaik EMUI yang masih lancar selepas 3 tahun seperti yang dapat dilihat pada Huawei P30 Pro yang masih kami gunakan sehingga sekarang.

Oleh sebab itu Magic UI tidak hadir dengan ciri penambahan memori secara maya yang kini popular pada peranti Oppo, Realme dan Samsung. Tak perlu kerana tiada isu kelancaran antaramuka ketika menatal.

Tetapi 8GB RAM mendatangkan satu isu kerana bagaimana Magic UI menguruskan memori. Kami sedari aplikasi yang menggunakan RAM yang banyak akan dimatikan mengejut. Jika Waze dibuka kemudian anda bertukar ke Chrome sebelum ke Spotify, tiba-tiba kami sedari arahan navigasi terhenti. Apabila ditukar semula ke Waze menerusi skrin multi-tugas, aplikasi dibuka semula dari awal. Dalam diam Waze dimatikan. Sangat tidak membantu jika anda sedang memandu ke destinasi yang tidak pernah dilawati. Boleh sesat dibuatnya.

Sistem pengurusan RAM pada Magic UI adalah lebih agresif berbanding pelancar lain. Jadi keajaiban antaramuka bergerak selancar mentega ini dinikmati dengan memadam aplikasi berat di latar belakang tanpa disedari. Pelancar melakukan magis sleight of hand dengan licik sehingga ilusi 8GB RAM mencukupi untuk hampir semua situasi hampir berjaya dilakukan.

Pujian diberikan kepada sistem biometri yang sangat pantas. Imbasan wajah secara 3D membenarkan ia digunakan dalam situasi gelap dan ia menyahkunci hampir sekelip mata. Pengimbas cap jari bawah skrinnya pula diletakkan di lokasi yang ergonomik dan juga mengesan cap jari dengan pantas. Pendek kata kedua-duanya pantas.


Penanda Aras

Snapdragon 8 Gen 1 ialah cip terbaik untuk peranti Android sekarang hinggalah Snapdragon 8+ Gen 1 mula digunakan pada peranti-peranti baharu kelak. Prestasi cip ini pada Magic4 Pro adalah seperti bawah.

  • Geekbench 5 – 958/3268 Markah
  • Antutu 3D – 805,972 Markah

Markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding Xiaomi 12 Pro dan Galaxy S22 Ultra dengan cip yang sama. Sebagai perbandingan Xiaomi 12 Pro mencatatkan 1217/3360 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 917,034 markah dalam ujian Antutu 3D.  Tetapi seperti yang kami katakan di atas Magic4 Pro terasa lebih lancar walaupun markah penanda arasnya sedikit lebih rendah.

Pelbagai permua popular seperti PUBG Mobile dan COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan paling tingi tanpa sebarang isu. Kami hanya menyedari tubuh peranti menjadi lebih suam daripada Xiaomi 12 Pro dan Galaxy S22 Ultra untuk sesi permainan yang sama.


Telefoni Dan GPS

Kami menggunakan SIM Digi sepanjang ulasan yang sekadar menyokong rangkaian 4G tetapi Magic4 Pro sudahpuan disenaraikan sebagai peranti yang disokong rangkaian 5G DNB. Tiada isu perlu menunggu beberapa minggu sebelum mendapat kelulusan di sini.

Panggilan selular adalah jelas dan terang bergantung kepada kawasan anda. Dalam situasi paling optimum dengan 4G menunjukkan 5 palang penuh panggilan telefon yang dilakukan jelas. Untuk pengalaman panggilan telefon yang lebih baik aktifkan VoLTE dan VoWiFi untuk kualiti audio yang paling berdefinisi tinggi.

GPS juga berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu. Aplikasi Waze dan Google Map dengan segera menjejak lokasi kenderaan. Sebagai sebuah telefon dan GPS, Magic4 Pro beraksi cemerlang.

Kamera

Sistem kamera pada Magic4 Pro adalah kompleks dan menarik. Sebuah lensa sudut lebar 50MP dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 50MP, sistem telefoto periskop 64MP dan sebuah sensor 3D ToF. Kerana sistem yang kompleks inilah bonggol di belakang peranti bersaiz amat besar. Peranti boleh menawarkan zum optikal sehingga 3.5X dan digital sehingga 100X – setanding dengan Galaxy S22 Ultra.

Di hadapan terdapat kamera 12MP dengan 3D ToF untuk menghasilkan kesan khas bokeh dan juga merangkap sistem imbasan wajah 3D. Oleh sebab itu lubang kamera di hadapan adalah agak besar.

Berikut ialah beberapa sampel gambar yang mampu kami ambil sepanjang tempoh ulasan. Kamera utama mengambil gambar yang tajam dan dengan penghasilan semula warna yang baik dalam situasi terang. Gambar dari lensa ultra sudut lebar juga memberikan kualiti yang sama. Tiada isu dalam 90% situasi.

Isu yang muncul dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Kami sedari dalam mod malam gambar jelas lebih lembut dengan keperincian imej mula hilang. Untuk menjadi pengganti Huawei, mod malam Honor perlu dipertingkatkan segera kerana ia tidak setanding. Pada peranti Huawei mod malamnya tajam, terang dan tidak memaparkan hingar yang ketara. Mod malam Magic4 Pro lembut, tidak begitu terang dan memaparkan hingar yang lebih ketara.

Gambar swafoto adalah tajam tetapi warna kulit tidak sama dengan keadaan sebenar. Mod bokehnya bagus dengan ia mampu mengesan latar belakang dengan subjek. Tetapi jika warna mula nampak pucat ini semuanya tidak berguna. Jika Honor serius mahu mengambil takhta Huawei kemampuan kemera perlu dipertingkatkan dengan segera.

Kemampuan zum pada Magic4 Pro pada waktu ini adalah baik tetapi masih di belakang Galaxy S22 Ultra. Gambar-gambar di bawah diambil menggunakan mod ultra sudut lebar, 3.5X zum, 10X zum, 30x zum dan 100X zum. Dari pengamatan kami hanya gambar sehingga 10x zum sahaja masih memaparkan kualiti yang memuaskan tetapi kesemuanya konsisten warna kurang bermaya.

Pada 30x zum imej sudah mula menjadi terlalu kabur dan lembut. Keperincian pada objek tidak lagi dapat dilihat. Pada tetapan 100x zum, imej amat kabur sehingga tidak boleh digunakan langsung. Pada Galaxy S22 Ultra, gambar masih tajam walaupun pada tetapan 30X zum. Jika kemampuan zum adalah perlu bagi anda, peranti mercu keluaran Samsung masih mempunyai kelebihan yang ketara.

`

Bateri

Dalam penggunaan paling berat dimana hanya rangkaian selular digunakan dan sentiasa bergerak di luar rumah, bateri 4600 mAh menawarkan SOT sehingga 7.5 jam dengan hayat penggunaan keseluruhan adalah sekitar 9 jam. Prestasi yang tidak begitu membanggakan tetapi adalah kebiasaan pada peranti mercu Android. Pada penggunaan yang lebih ringan SOT sekitar 6 jam dengan peranti bertahan sehingga 16 jam boleh dicapai. Sekali lagi bukanlah hayat bateri yang begitu membanggakan.

Ini mungkin sebab utama mengapa sistem pengecasan yang amat pantas 100W diberikan oleh Honor. Peranti boleh dicas semula dalam masa sekitar 38 minit sahaja. Pengecas ini juga diberikan dengan setiap pembelian mengurangkan kos tambahan kepada pengguna. Terdapat juga aksesori

Audio

Audio stereo dapat dinikmati dengan kedua-dua speaker menembak ke sisi. Ianya agak seimbang cuma speaker bawah sedikit lebih lantang kerana kekisi audionya yang lebih besar. Yang sedikit menggusarkan ialah tiada sistem Dolby Atmos terbina seperti peranti pesaing. Namun begitu kualiti audio dari speaker masih lagi mantap dengan ianya jelas dan tidak pecah. Terdapat sokongan LDAC untuk aksesori yang menyokongnya untuk kualiti audio yang lebih baik.

Ada satu isu sahaja isu pada sistem audio yang kami rasakan agak pelik. Tahap bateri aksesori audio yang ditambat secara bluetooth tidak boleh dipaparkan oleh peranti. Masalah legasi EMUI kini diwarisi pula oleh Magic UI. Sudah di tahun 2022 dan kami mengharapkan pada iterasi seterusnya paparan tahap bateri akan boleh dipaparkan terus dari tetapan bluetooth supaya pengguna tahu bila TWS/fon kepala perlu dicas semula.


Pesaing

Honor Magic4 ProSamsung Galaxy S22 UltraVivo X80 Pro
6.81″ LTPO OLED, 1312 x 2848, 120Hz, (460 PPI), HDR10+
6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3088, 120Hz, (500 PPI), HDR10+6.78″, LTPO AMOLED, 1440 x 3200, 120Hz, (517 ppi)
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
8 GB 12 GB12 GB
256 GB UFS 3.1
256 GB UFS 3.1

256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar
50MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
64MP, f/2.5, OIS Telefoto 100X
3D ToF
Kamera Utama
108MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar
12MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
10MP, f/4.5, OIS, Telefoto 100X
10MP, f/2.4, OIS, Telefoto 3X
Kamera Utama
50MP, f/1.6, OIS Sudut Lebar
48MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
8MP, f/3.4, OIS, Telefoto 60X
12MP, f/2.4, OIS, Telefoto 3X
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.4
3D ToF
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada Bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4600 mAh
Berwayar 100W
Nirwayar 100W
5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
4700 mAh
Berwayar 80W
Nirwayar 50W
Harga RM3999Harga RM5499Harga RM4999

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Honor Magic4 Pro.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 100W
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

Apabila peranti menggunakan nama MAGIC kami mengharapkan ia dipenuhi pelbagai ciri yang mengujakan dan mengagumkan seperti pertunjukan David Blaine di Las Vegas. Yang magis pada Honor Magic4 Pro ialah pemproses berkuasa, sistem operasi yang lancar, rekaan yang premium dan pengecasan yang amatlah pantas.

Tetapi ini dicapai dengan ilusi kerana sistem agresif mengawal RAM sehingga aplikasi ditutup di belakang. Kemudian prestasi kamera masih belum setanding dengan Huawei ataupun Samsung. Malahan sampel gambar Vivo X80 Pro yang kami sedang ulas sekarang adalah beberapa langkah di hadapan.

Seperti Harry Houdini, Magic4 Pro menggunakan pelbagai ilusi untuk memberikannya kelebihan berbanding pesaing. Ada helah yang berjaya ada yang tidak. Pada harga RM3999 ia ditawarkan pada harga yang sebenarnya agak kompetitif untuk kategori peranti mercu premium di Malaysia. Jauh lebih murah berbanding Vivo X80 Pro dan Samsung Galaxy S22 Ultra. Kuasa memilih di tangan anda.

Pro

  • Rekaan menarik dan terasa premium.
  • Prestasi yang baik dengan cip pemproses tahap mercu.
  • Magic UI 6 berfungsi lancar walaupun dengan hanya 8GB RAM.
  • Kalis air IP68.
  • Sistem pengecasan yang amat pantas disertakan dengan pembelian.
  • Sokongan perisian selama lima tahun.

Kontra

  • Prestasi zum tidak sebaik pesaing.
  • Prestasi Snapdragon 8 Gen 1 lebih rendah berbanding pesaing.
  • Mod malam agak mengecewakan.
  • Skrin melengkung menyukarkan operasi.
  • Pengurusan RAM terlalu agresif sehingga mematikan aplikasi.

Komen