#HP

HP ZBook Firefly G9 Akan Tiba Di Malaysia Pada Bulan Jun Ini

Diterbitkan pada Mei 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

HP ZBook Firefly G9 telah dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan komputer riba kerja yang berkuasa dan memfokuskan terhadap golongan profesional kreatif. Selain daripada itu, ia juga hadir dengan dua saiz skrin yang berbeza iaitu 16-inci dan 14-inci. Namun begitu, sebahagian besar perkakasan dalamannya adalah sama.

HP ZBook Firefly G9 menggunakan skrin sesentuh beresolusi FHD dengan kadar segar semula 120Hz. Ia turut menawarkan nisbah aspek 16:10, sokongan gamut warna sRGB 100%. Turut melengkapi komputer riba ini adalah CPU Intel generasi ke-12 bersama dua pilihan GPU NVIDIA T550 atau NVIDIA RTX A500. Memori yang menyokong pula sehingga 64GB RAM DDR5 dengan storan NVMe 2TB.

Di samping itu, kamera web sebesar 5-Megapixel dan pembesar suara dengan audio Bang & Olufsen turut disertakan. Baterinya pula diiklankan mampu bertahan sehingga 13 jam dengan sekali pengecasan. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan Wi-Fi 6E, pelbagai port seperti 1 X HDMI 2.0b, 2 X Thunderbolt 4 USB-C, 2 X SuperSpeed USB Type-A dan bicu audio 3.5mm.

Tiada tarikh dan harga jualan rasmi yang dikongsikan buat masa ini. Namun begitu, HP Malaysia telah mengesahkan yang mana komputer riba ini bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan bermula bulan Jun 2022.

komen


© Amanz / 2022 Kami