Vivo siri X adakah peranti Vivo yang memfokuskan fotografi. Kemampuan fotografi pada siri peranti memang unik dan berbeza dengan apa yang jenama lain tawarkan. Sedar dengan kehebatan kamera ini, Vivo mula memberi fokus kepada bahagian kamera dengan bekerjasama dengan Zeiss pula. Vivo X60 adalah peranti pertama mereka dengan Zeiss yang mana membuatkan saya sendiri terkejut dengan kemampuan kamera mereka.

Tetapi Vivo X70, ia tidak begitu menarik kerana pasca-proses yang mengambil masa lama dan dijual pada harga tinggi untuk cip yang sepatutnya boleh sahaja dijual pada harga lebih murah. Kini, mereka hadir dengan siri X80 pula. Selepas sekitar sebulan saya menggunakan Vivo X80 Pro, berani saya katakan peranti ini mempunyai kemampuan kamera di luar jangkaan saya dan amat hebat. Baik foto dan video, peranti ini berjaya menewaskan banyak peranti mercu tahun ini.
Cuma, adakah harga RM4,999 cukup baik untuk peranti Vivo atau terlampau mahal? Dalam artikel ulasan ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan saya dan pendapat sama ada adakah ia berbaloi untuk dimiliki.
Spesifikasi
Vivo X80 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.78″ LTPO3 AMOLED QHD+, 120Hz HDR10+, ~517 ppi |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) Vivo V1+ |
Cip | 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5 4GB Memori maya |
Muatan Dalaman | 256 UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 Megapixel (Utama) 8 Megapixel (Persikop Telefoto) 12 Megapixel (Telefoto 48 Megapixel (Sudut Ultra Lebar) f/1.6+f/3.4+f/1.9+f/2.2 Gimbal OIS, 5x Zum Optikal, Zeiss T* |
Kamera Swafoto | 32 Megapixel f/2.5 |
Bateri | 4700 mAh Pengecasan berwayar 80W Pengecasan nirwayar 50W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin ultrasonik |
Harga Jualan | RM 4999 (12/256 GB) |
Penggunaan
Skrin peranti ini adalah 6.78-inci AMOLED QHD+ jenis melengkung, menyokong paparan HDR10+ HLG, dan juga kadar segar semula 120Hz. Kecerahan skrin peranti ini pada saya cukup baik untuk kegunaan harian dan sepanjang sebulan kegunaan saya tidak pernah mengalami masalah dengan skrin peranti ini. Ia juga mempunyai warna yang cantik, seronok digunakan untuk menonton pelbagai video daripada pelbagai platform penstriman dan mata tidak akan rasa penat kerana mod kecerahan automatik yang tersedia serta beberapa ciri perlindungan mata untuk pengguna.
Skrin Vivo X80 Pro ini tidak lagi ketinggalan dan boleh dikatakan sudah setaraf dengan banyak peranti mercu yang berada di pasaran sekarang. Ini tidak terkejut juga, kerana panel skrin peranti ini dibuat oleh Samsung. Bukan itu sahaja, panel skrin peranti ini juga adalah jenis LTPO untuk sokongan kadar segar semula tinggi adaptif. 120Hz pada peranti ini juga sangat lancar dan pantas, yang mana peralihan animasi, tatalan dan pelbagai penggunaan tidak akan mendatangkan masalah langsung.

Peranti ini juga sedap dipegang, kerana panel belakang yang direka dengan kemasan yang cukup kesat. Pada awal penggunaan ia sedikit aneh, kerana ia memberi pengalaman seakan ada kemasan sandstone disebabkan oleh kilauan yang digunakan. Tetapi sebenarnya, ia lembut dan kesat dengan permukaan seakan bergetah. Ia lembut dan selesa di tangan, tetapi tidak licin membuatkan lebih selesa dipegang tanpa sebarang selongsong.
Dalam kotak, terdapat selongsong pelindung dengan kemasan seakan kulit jika anda tidak sukakan permukaan yang licin bergetah ini. Selongsong diberikan juga adalah jenis nipis dan tidak melindungi pun bonggol kamera yang bersaiz gergasi ada pada peranti ini.

Di belakang peranti ini, bonggol kamera gergasi ini membuatkan saya teringat pada peranti Xiaomi Mi 11 Ultra, cuma ia lebih nipis. Ia tiada skrin kedua dan lebih kepada rekaan semata-mata sahaja. Modul kamera semua dimuatkan pada bahagian bulat dengan sensor periskop berada di sekitar kaca bonggol peranti.
Sisi kanan peranti tiada apa-apa, siri kiri ada semua butang kuasa dan butang aras suara, di atas mempunyai mikrofon dan sensor infra merah dan di bawah pula mempunyai satu lagi mikrofon, kekisi speaker, port USB-C dan slot kad SIM. Di hadapan, kekisi ganggang telefon tidak begitu kelihatan kerana ia kecil dan nipis, kemudian pada skrin ada lubang di tengah atas untuk kamera swafoto dan bezel juga amat nipis memberikan ilusi skrin menyeluruh yang imersif.

Prestasi Dan Perisian
Prestasi Vivo X80 Pro adalah antara terbaik untuk sebuah peranti yang menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1. Memori yang digunakan adalah 12GB RAM dengan memori maya 4GB RAM. Dengan peranti ini, penggunaan harian saya boleh dikatakan lancar sahaja dan tiada sebarang masalah lengah masa. Setiap aplikasi yang dibuka pantas, tukar aplikasi juga lancar, membiarkan banyak aplikasi dikunci dan berjalan di latar juga tidak akan mengganggu kerja harian saya.
Sejak hujung Ramadan sehingga minggu ketiga Raya, ini adalah peranti harian saya. Saya amat berpuas hati dengan prestasi pada peranti ini untuk penggunaan ringkas. Di sini kuasa Snapdragon 8 Gen 1 mula menyerlah.

Tetapi, apabila bermain permua masalah mula muncul. Peranti akan mula memanas, tetapi masih boleh dipegang dan tidak seperti panas yang berlaku pada Realme GT2 Pro. Permua dengan grafik tinggi seperti PUBG mobile boleh dimainkan dengan lancar untuk satu sesi tanpa sebarang masalah dengan pemanasan mula berlaku pada sesi kedua. Permua yang lebih ringan seperti Asphalt 9 tiada masalah untuk dimainkan dalam beberapa sesi.

Funtouch OS 12 berasaskan Android 12 adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini. Ia agak menarik dan ringkas, tetapi ia masih ada masalah pada susun atur di tetapan yang pada hemat saya sedikit bersepah berbanding pesaing yang sudah mengikut konsep Android asli yang tersusun dengan baik dan mengikut kategori. Penggunaan Funtouch OS agak menarik kerana ia mudah sahaja digunakan, cuma Funtouch OS tidak menawarkan banyak perkara menarik seperti versi China mereka Origin OS yang memfokuskan widget.

Widget tersendiri mereka juga tidak menarik kerana tidak banyak yang boleh digunakan dan ada pepijat yang menjengkelkan. Kemudian yang saya kurang gemar adalah, peranti Vivo ini masih ingin menggunakan banyak aplikasi lalai tersendiri. Contohnya aplikasi panggilan telefon dan mesej tersendiri yang sedikit ketinggalan dan tidak menarik untuk digunakan. Sedangkan pesaing sudah mula menggunakan Google Phone dam Google Message.
Paling menjengkelkan adalah, setiap kali aplikasi dipasang melalui Play Store akan ada iklan yang tidak boleh dimatikan. Ini hanya berlaku dengan Play Store dan tidak berlaku jika pemasangan melalui fail APK.
Penanda Aras
Vivo X80 Pro juga adalah satu-satunya peranti yang pernah saya uji mencapai skor yang menghampiri sejuta di AnTuTu. Ujian yang dilakukan juga adalah dengan aksesori kipas penyejuk untuk keputusan yang lebih optimum. Tetapi ujian Geekbench tidaklah sehebat mana berbanding peranti pesaing.
- AnTuTu 3D – 990,028
- Geekbench 5 – 1165/3582

Peranti pesaing seperti Xiaomi 12 Pro hanya menerima skor 950,056 pada AnTuTu dan 1220/3506 pada Geekbench. Sementara pada iPhone 13 Pro Max pula hanya 789,647 di AnTuTu dan 1716/4678 pada Geekbench. Seperti biasa, keputusan penanda aras hanyalah nombor semata-mata dan penggunaan di dunia nyata oleh diri sendiri lebih penting. Saya sudah jelaskan tadi, prestasi penggunaan harian dan permua tidak memberi sebarang masalah langsung yang mana cukup memuaskan.
Kamera
Vivo X80 Pro sekali lagi memfokuskan pada kamera. Konfigurasi kamera adalah 50MP, f/1.6 (Utama) + 8MP, f/3.4 (Persikop Telefoto) + 12MP, f/1.9 (Telefoto) + 48MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) dengan sokongan gimbal OIS, 5x Zum Optikal, lensa Zeiss T* dan perisian yang cukup menakjubkan.
Aplikasi kamera mudah digunakan. Ia mempunyai ikon Zeiss yang boleh dihidupkan atau dimatikan, memberi pengguna pilihan sama ada ingin menggunakan profil warna Zeiss atau sistem kecerdasan buatan pada peranti yang dikuasakan dengan ISP tersendiri Vivo V1+. Gabungan kerjasama Zeiss dan penggunaan ISP sendiri ini menjadikan hasil imej dan video pada peranti ini lebih memuaskan berbanding pesaing. Profil warna dan kesan pada setiap imej juga berbeza dan boleh dikatakan unik.

Masalah besar pada kamera hanyalah pada prestasi sahaja. Dalam penggunaan sekitar 10 minit sahaja, peranti mula mengalami masalah memanas yang serius di mana ia panas sehingga sukar untuk dipegang. Tahap panasnya adalah yang paling panas setakat ini untuk tahun 2022. Ia memanas pada sisi peranti dan pada skrin serta pada panel belakang.
Untuk kualiti kamera, mengejutkan ini adalah antara yang terbaik untuk peranti mercu Vivo yang pernah saya gunakan. Berbanding X50 dan X60, X70 adalah terbaik setakat ini. Ia memfokuskan pada penggunaan potret seakan sebuah kamera SLR Zeiss. Ia tidak mempunyai fokus yang baik, tetapi lebih kepada kesan lembut dan kesan kabur yang unik. Ada banyak pilihan penuras Zeiss untuk potret serta penggunaan mod Zeiss automatik turut disertakan.

Hasil warna yang dikeluarkan oleh kamera peranti ini cukup cantik, terang dan mempunyai butiran yang jelas apabila mod automatik digunakan dan mod kecerdasan buatan diaktifkan. Mod-mod lain juga saya amat berpuas hati dengan kualitinya, seperti mod AI Group yang bijak apabila mengambil gambar beramai-ramai, mod sudut ultra lebar yang memuaskan, mod makro yang cukup cantik, dan banyak lagi mod menarik terbina untuk pengguna meluahkan kreativiti sendiri.
Video pada saya tidak begitu hebat, berbanding X50 dan X60 sebelum ini. Ia seakan lebih bergegar dan perkara baru yang saya sedari hanyalah pada warna yang sedikit lebih terang. Hasil video juga dilihat semakin tajam dan tidak mempunyai fokus yang baik. Cuma penstabilan kelihatan sedikit aneh kerana seakan penstabilan digital sahaja. Berikut adalah sampel-sampel untuk anda lihat dan nilaikan sendiri;










Audio
Vivo amat sukar untuk menawarkan speaker stereo, menjadikan peranti sukar untuk dicadangkan kepada peminat peranti yang pentingkan audio. X80 Pro menyokong mod stereo, tetapi ia tidak cukup seimbang. Ia kuat pada bahagian bawah dan tidak memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan.

Pengimbas Cap Jari Dan Sensor Tambahan
Agak jarang untuk melihat peranti lain yang bukan Xiaomi atau Redmi menyediakan sensor infra merah. Tetapi peranti ini mempunyai satu jika pengguna ingin mengawal televisyen, kipas dan sebagainya. Paling menarik adalah adalah pengimbas cap jari bawah skrin. Vivo X80 Pro mempunyai pengimbas cap jari paling pantas setakat ini, malah saya amat terkejut kerana seakan sekelip mata ia boleh mengesan jari saya. Ruang untuk imbasan jari juga boleh dilaras untuk saiz kecil ke besar.

Bateri
Sejak saya menggunakan peranti yang dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1, jarang sekali dengan penggunaan saya menerima ketahanan bateri seakan peranti Snapdragon 865 beberapa tahun lalu. Saya sedar penggunaan saya dengan cip ini hanya sekitar 4-5 jam SOT. Sedangkan sebelum ini dengan penggunaan sama, saya boleh menerima ketahanan 6-7 jam SOT, kali ini amat sukar. Tetapi ia lebih baik daripada Snapdragon 888.

Dalam ujian saya, jika penggunaan lebih ringan tiada masalah pun untuk terima sekitar 6 jam SOT maksima. Pengecasan pula, hanya 80W yang sebenarnya cukup pantas. Tetapi saya sudah selesa dengan pengecasan 120W, 80W membuatkan saya tertunggu-tunggu.

Vivo X80 Pro turut menyokong pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Saya jarang gunakannya, kerana tidak pantas dan untuk pengecasan nirwayar berbalik ia jarang berfungsi dengan baik.
Pesaing
Oppo Find X5 Pro | Samsung Galaxy S22 Ultra | Vivo X80 Pro |
6.78″, AMOLED, QHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.7″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1x 3.00 GHz Cortex-X2 3x 2.50 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12GB LPDRR5 | 8GB/12GB LPDDR5 | 12GB LPDDR5 |
256 GB UFS 3.1 | 128/256/512GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama), OIS 48MP, f/2.0, (telefoto) 12MP, f/2.0 (ultra-lebar) 8MP, f/3.4 (periskop) | Kamera Utama 108MP, f/1.8 (utama), OIS 12MP, f/2.2, (ultra-lebar) 10MP, f/2.4 (makro) 10MP, f/4.9 | Kamera Utama 50MP, f/1.9 (utama), OIS 50MP, f/2.2 (ultra-lebar) 13MP, f/2.4 (telefoto) |
Kamera Hadapan 32-Megapixel | Kamera Hadapan 40-Megapixel | Kamera Hadapan 32-Megapixel |
IP68 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4700 mAh (Berwayar 80W) | 5000mAh (Berwayar 45W) | 5000mAh (Berwayar 80W) |
RM 4999 (12/256 GB) | RM 5099 (8/128GB) RM 5499 (12/256GB) RM 5899 (12/512GB) | RM 4999 (12GB/256GB) |
Kesimpulan
Bagi peminat fotografi dan video asas, peranti ini memang boleh berikan satu hasil yang cantik dan memuaskan. Skrin juga lancar, cantik dan hebat, pengecasan yang cukup pantas dan rekaan yang menarik. Tetapi masalah pada perisian dan memanas ini sat perkara yang sukar diterima untuk sebuah peranti yang harga hampir RM5000.

Vivo X80 Pro memfokuskan kepada kualiti kamera seakan SLR Zeiss, yang mana gaya gambar dan video ini mungkin tidak akan digemari oleh semua orang. Bagi yang berminat, X80 Pro ini dijual pada harga RM4,999. Ia agak mahal, zum pun tidak baik mana dan mempunyai spesifikasi cukup hebat. Samsung Galaxy S22 Ultra dengan 8GB RAM pun sudah mencapai RM5099, alternatif lain yang baik yang saya boleh cadangkan adalah Oppo Find X5 Pro. Harga yang sama, tetapi perisian dan kame4ra saya akan katakan antara padanan terbaik setakat ini.
Anda tentukan sendiri, duit anda yang akan keluarkan dan peranti mahal seperti ini adalah untuk penggunaan jangka masa panjang.
Pro
- Skrin yang cantik, pantas dan lancar.
- Rekaan yang cantik dan selesa di tangan.
- Kemaskini perisian yang konsisten setakat ini.
- Pengecasan pantas lebih pantas dari pesaing utama.
- Kemampuan kamera yang menakjubkan.
Kontra
- Iklan ketika memasang aplikasi daripada Play Store.
- Audio yang tidak seimbang.
- Bateri yang tidak tahan begitu lama.
- Harga yang kurang menarik perhatian
