Sebuah Peranti Pixel Misteri Dengan Spesifikasi Lebih Berkuasa Daripada Pixel 7 Pro Sedang Dibangunkan

Diterbitkan pada Mei 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Pixel 7 dan Pixel 7 Pro adalah peranti mercu Pixel untuk tahun 2022. Peranti ini dijangka akan hadir dengan skrin daripada panel sama yang menghasilkan Pixel 6, dijana cip Tensor generasi baharu serta kamera lebih hebat dan akan dilancarkan sekitar suku terakhir 2022.

Terkini, 9to5Google menemui bukti yang Google sedang membangunkan sebuah peranti Pixel yang lebih berkuasa berbanding Pixel 7 Pro. Peranti ini menggunakan kod nama G10 dan dijana dengan cip Tensor baharu.

G10 ini ditemui dalam kod AOSP, jadi ia disahkan adalah sebuah peranti yang menjalankan sistem operasi Android. Ia juga disahkan adalah sebuah Pixel, kerana menggunakan format kod nama sama seperti Pixel 7 dan Pixel 7 Pro iaitu C10 “Cheetah” dan P10 “Panther”. Ia dikatakan adalah sebuah peranti premium dan lebih berkuasa kerana ia bukan siri A. Siri A kali ini menggunakan kod nama Felix dan Lynx.

Peranti Pixel misteri G10 ini dikatakan akan menggunakan panel skrin dari BOE yang menyokong 120Hz dan menggunakan resolusi 1440×3120 dan mempunyai dimensi 71×55 mm. Peranti ini mungkin adalah sebuah tablet yang dijangka akan dilancarkan pada tahun 2023 akan datang.

Apa kata anda mengenai peranti ini?

komen


© Amanz / 2022 Kami