Carian
Pandang Pertama Acer Swift 3 OLED – Peranti Perawan Berprestasi Tinggi
June 1, 2022 Nazrin

Sewaktu acara Acer Global Press Conference yang berlangsung beberapa hari yang lalu, Acer telah melancarkan sejumlah komputer riba baru, dan diantara daripadanya ialah kemaskini kepada salah satu model komputer riba produktiviti Acer Swift, iaitu Acer Swift 3 OLED.

Acer Swift 3 OLED dilihat sebagai model komputer riba Acer Swift pertama dengan dua ciri baru yang diperlihatkan untuk pertama kalinya pada siri ini, iaitu penggunaan paparan skrin OLED dan juga cip pemprosesan Intel siri-H.

Spesifikasi

Bermula dengan paparan skrin, Acer Swift 3 OLED dilengkapi dengan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi WQXGA+(2.8k) dengan nisbah paparan-ke-bingkai 92 peratus yang memaksimakan saiz skrin komputer riba ini didalam rangka yang lebih padat. Ia juga mempunyai nilai kecerahan 500 nit yang membolehkannya menyokong teknologi paparan DisplayHDR True Black 500.

Acer Swift 3 OLED yang sempat kami lihat ini dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake Intel Core i7-12650H dengan memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe NVMe sebesar 1TB.

Untuk kegunaan grafik pula, komputer riba ini dilihat menggunakan cip pemprosesan Intel Iris Xe yang terbina bersama-sama dengan cip pemprosesan Alder Lake dan dijangka cukup berkuasa untuk mengolah kandungan beresolusi tinggi, permainan-permainan komputer pada resolusi dan tetapan kelas pertengahan tanpa masalah.

Dari segi palam I/O pula, Acer Swift 3 OLED ini juga tampil dengan penawaran dua palam Thunderbolt 4, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam USB 3.2 Gen1 Type-A. Ia turut mengekalkan penggunaan palam audio 3.5mm untuk fon telinga berwayar, tetapi sayangnya tidak mempunyai sebarang pembaca kad SD ataupun microSD lagi.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Alder Lake-H boleh dilihat sebagai sebuah langkah yang agak menarik khususnya kerana siri peranti Acer Swift kebiasaannya dilihat menggunakan cip pemprosesan Intel siri-U yang dibina khusus untuk komputer riba produktiviti nipis dan ringan.

Sekiranya kami berpeluang untuk menguji kebolehan komputer riba ini, kami berharap untuk melihat sendiri apakah cip yang biasanya diperlihatkan pada komputer riba bersaiz lebih besar ini boleh digunakan dalam rangka peranti sebegini.

Rekaan

Tema acara Acer GPC pada tahun ini dilihat semakin beralih kepada penggunaan bahan kitar semula dalam binaan komputer riba, dan Acer Swift 3 dilihat diantara komputer riba pertama yang menggunakan bahan kitar semula dalam binaan komputer riba ini. Bahagian pad sesentuh komputer riba ini dilihat menggunakan kaca Ocean Glass yang merupakan bahan kaca yang dikitar semula menggunakan kaca yang dikumpul dari lautan.

Sama seperti model-model Acer Swift 3 sebelum ini, rangka keseluruhan Acer Swift 3 OLED diperbuat daripada aluminum dan mempunyai ketebalan 17.9mm dengan berat 1.4kg. Berat yang sedikit lebih tinggi daripada biasa ini dijangka adalah kerana penggunaan cip pemprosesan siri-H memerlukan sistem penyejukan yang lebih gah, dan juga penggunaan paparan skrin OLED menyebabkan bahagian skrin komputer riba ini lebih tebal juga.

Acer Swift 3 OLED dikatakan akan ditawarkan dalam pilihan warna Luxury Gold dan juga Steel Grey. Model yang sempat kami lihat baru-baru ini merupakan pilihan warna Luxury Gold, yang memperlihatkan penggunaan warna emas samar-samar dan warna perak di bahagian dalam komputer riba ini.

Keunikan komputer riba Acer Swift 3 OLED ini dapat dilihat melalui kebolehan Acer dalam memuatkan sebuah cip pemprosesan Intel siri H didalam sebuah rangka yang secara lazimnya dilihat sebagai peranti produktiviti harian biasa, dan juga penggunaan paparan OLED, yang mana kedua-duanya merupakan sesuatu yang pertama buat komputer riba siri ini.

Harapannya ialah dengan ini, kita dapat melihat komputer-komputer riba nipis dan ringan yang lain, seperti Acer Swift 5, Swift 7 dan juga model-model dari jenama lain tampil dengan penawaran yang sama di masa akan datang. Penambahan paparan skrin OLED yang menjanjikan olahan warna jitu dan sudut pandangan yang lebar juga sangatlah dialu-alukan.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah Acer Malaysia akan membawa masuk komputer riba ini ke pasaran tempatan, tetapi ia dijangka akan tiba sekitar suku ketiga tahun ini.

Komen