Huawei sebelum ini ada menyatakan yang mana WiFi Mesh 3 akan dipasarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Bercakap lebih lanjut mengenainya, harga jualan rasmi kini dikongsi dan ianya berharga RM699. Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa platform berbeza seperti laman web rasmi Huawei Malaysia, Shopee dan Lazada bermula hari ini.

Huawei WiFi Mesh 3 merupakan sebuah penghala lengkap mudah-alih dan mampu menyokong sehingga 250 peranti dalam lingkungan 6,000 kaki persegi. Ini termasuklah komputer riba, tablet, telefon pintar, pembesar suara pintar dan sebagainya. Tubuhnya yang minimalis turut memudahkannya untuk diletakkan di mana-mana sudut tanpa masalah.

Ia turut menyokong AX3000 Dual-Band dengan kelajuan maksimum 3000Mbps. Dengan HarmonyOS Mesh+ pula, ia membolehkan peranti disambungkan dengan lancar dan stabil pada Wi-Fi. Ini bermakna pengguna bebas bergerak di sekitar peranti yang disambungkan tanpa masalah pada rangkaian. Tidak ketinggalan, sambungan telefon pintar pada router cukup mudah menerusi ciri One-Touch Connect.