Siri Razer Barracuda Baharu Dilancarkan Dengan ANC, Audio THX Dan Harga Bermula RM549

Diterbitkan pada Jun 1, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer hari ini telah melancarkan set fon kepala baharu dalam siri Barracuda untuk tahun 2022. Ia mempunyai tiga model iaitu Barracuda Pro, Barracuda dan Barracuda X. Ketiga-tiga set fon kepala ini sudah semestinya memfokuskan permainan video dan memuatkan banyak ciri menarik dengan rekaan yang sesuai untuk digunakan di mana sahaja walaupun ketika tidak aktif bermain.

Barracuda Pro

Razer Barracuda Pro adalah model paling atas dengan ciri dan fungsi paling premium. Ia adalah set fon kepala nirwayar 100% dengan ciri Razer SmartSwitch Dual Wireless untuk digunakan pada dua peranti tanpa sebarang masalah. Set fon kepala ini turut menawarkan ciri pembatalan hingar aktif jenis hibrid dengan dwi-mikrofon terbina dan menggunakan pemacu audio Razer TriForce Bio-Cellulose 50mm.

Untuk kualiti audio, ia ditala oleh THX dengan sistem THX Achromatic Audio Amplifier dan turut menyokong ciri audio spatial THX. Cawan telinga yang digunakan adalah jenis kusyen memori dengan kemasan seakan kulit yang lembut. Bateri dijanjikan boleh bertahan sehingga 40 jam dengan pengecasan USB-C.

Razer Barracuda Pro dijual pada harga RM1,399.

Barracuda

Razer Barracuda adalah model pertengahan dengan ciri dan fungsi lebih kurang sama. Ia masih menyokong Razer SmartSwitch, tetapi bukannya nirwayar penuh dan menyokong sambungan analog 3.5mm. Pemacu audio yang digunakan pula adalah Razer TriForce Titanium 50mm dan bukannya Bio-Cellulose. Walaupun ia mempunyai dwi-mikrofon terbina, ia hanya untuk membatalkan kesan hingar ketika bercakap dan tidak menyokong pembatalan hingar aktif seperti model Pro.

Tiada sokongan THX AAA, tetapi masih menyokong audio spatial THX. Untuk cawan telinga ia menggunakan kusyen memori FlowKnit, bateri masih sama iaitu mencapai 40 jam dan turut menggunakan pengecasan USB-C.

Harga jualan untuk model ini adalah RM899.

Barracuda X

Razer Barracuda X adalah model permulaan dan antara yang paling murah dalam siri Barracuda. Ia mempunyai ciri sama seakan model Barracuda biasa dengan ciri SmartSwitch sama, tetapi pemacu audio adalah Razer TriForce 40mm dan tidak menggunakan jenis titanium. Menariknya, ia turut menyokong Surround Sound 7.1 dengan mikrofon Razer HyperClear yang boleh ditanggalkan.

Kusyen memori FlowKnit kekal digunakan, sambungan 3.5mm turut kekal dan ia juga direka untuk mempunyai jisim yang lebih ringan. Bateri bertahan sehingga 50 jam dengan pengecasan USB-C juga.

Harga jualan adalah RM549.

Kesemua set fon kepala nirwayar siri Barracuda ini boleh dibeli melalui laman Lazada dan Shopee rasmi Razer Malaysia;

komen


© Amanz / 2022 Kami