Carian
Honor Magic4 Pro Boleh Dipra-tempah Bermula Hari Ini Pada Harga RM3999
June 1, 2022 Nazrin

Diumumkan sewaktu acara Mobile World Congress pada penghujung Februari yang lalu, peranti pintar premium terbaru daripada Honor, iaitu Honor Magic 4 Pro akhirnya tiba ke pasaran tempatan bermula hari ini.

Dijana cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen1 peranti ini turut hadir dengan memori LPDDR4 sebanyak 12GB dan storan UFS 3.1 sebesar 512GB. Ia dilengkapi juga dengan paparan skrin LTPO Quad-Curved OLED bersaiz 6.81 inci dengan resolusi Full HD+ dengan kadar segar semula 120Hz.

Paparan skrin ini juga boleh memaparkan gamut warna penuh DCI-P3 dan juga menyokong teknologi paparan DisplayHDR 10+ yang menjanjikan pengalaman tontonan video dan bermain permua yang lain dari yang lain.

Dengan peranti ini, Honor dilihat mempromosikan konsep Ultra Fusion Photography mereka dengan penawaran sistem kamera empat lensa, termasuklah 50+64+50 Megapixel dengan sensor TOF dan juga sokongan IMAX Enhanced. Kamera ini juga dilihat tampil dengan kemampuan untuk merakam video pada resolusi 4K30 dengan gabungan sokongan format rakaman Magic-Log dan olahan warna lebih jitu melalui Cinematic 3D Look Up Table.

Dari segi bateri, Honor Magic4 Pro ini juga hadir dengan bateri bersaiz 4800mAH dengan sokongan untuk pengecasan pantas Honor Supercharge 100W berwayar dan nirwayar yang juga tiba bersama pengecas dengan nilai kuasa yang sama. Tidak kira cara pengecasan anda, dengan kuasa pengecasan ini anda boleh mengecas bateri peranti anda dari kosong ke 100 peratus dalam 30 minit sahaja.

Honor Malaysia mengatakan bahawa pra-tempah untuk Honor Magic4 Pro dibuka bermula hari ini sehingga 10 Jun kelak, pada tanda harga pengenalan RM3999. Tiga pilihan warna peranti akan ditawarkan untuk pasaran tempatan, termasuklah Cyan, Gold dan Black. Pilihan warna Gold dikatakan merupakan model warna eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, selain daripada China.

Pra-tempahan ini juga akan memberi para pembeli Honor Magic4 Pro ini hadiah-hadiah percuma termasuklah jam pintar Honor Watch GS3, rangka peranti Honor Magic4 Pro, waranti tambahan dan juga perlindungan skrin retak selama enam bulan.

Komen