Microsoft Solitaire merupakan salah satu permainan yang popular di dunia, dan merupakan antara permainan yang aktif dimainkan melalui komputer pada suatu ketika dahulu.
Hari ini, Microsoft menyambut ulang-tahun ke-32 untuk permainan berkenaan. Ia pada pertama kalinya telah disertakan bersama Windows 3.0 pada 1990 yang lepas.

Untuk makluman, permainan ini telah dibangunkan oleh salah seorang pelatih atau intern di Microsoft ketika itu, iaitu Wes Cherry.
Permainan ini disertakan dalam membolehkan orang ramai belajar menggunakan tetikus, dan berinteraksi bersama antaramuka berbentuk GUI ketika itu – termasuk melatih penggunaan seperti klik, drag-drop, dan pelbagai perkara lain berkaitan tetikus.

Sejak dilancarkan, Microsoft pernah berkongsi mengatakan Solitaire antara program Windows yang aktif digunakan pengguna – termasuk memberikan impak pada produktiviti suatu ketika dahulu, dimana pekerja di pejabat memainkannya ketika waktu kerja.
Kali terakhir Microsoft berkongsi pada 2020 lepas, mengatakan permainan Solitaire masih mempunyai lebih 35 juta pemain aktif bulanan ketika itu.