Cari @ Amanz

Siri Garmin Forerunner merupakan rangkaian yang dicipta khusus untuk olahraga. Terkini, ia telah dikemaskini dengan penawaran baharu menerusi pengenalan Forerunner 255. Melaluinya, terdapat empat variasi telah diumumkan yang terdiri dengan Forerunner 255, Forerunner 255 Music, Forerunner 255S dan Forerunner 255S Music.

Kesemua variasi mempunyai jisim yang ringan, di samping rekaan hampir sama dengan pendahulunya iaitu Garmin Forerunner 245. Ia menggunakan tubuh berasaskan bahan fiber dengan padanan tali silikon. Dalam masa sama, setiap variasi juga berkongsi perkakasan dalaman yang sama. Perbezaan ketara yang boleh dilihat dengan jelas adalah pada saiz skrin muka jam dan jangka hayat bateri.

Garmin Forerunner 255 dan Garmin Forerunner 255 Music dilengkapi skrin berwarna sebesar 1.3-inci dengan resolusi 260 X 260 piksel dan Corning Gorilla Glass 3. Jangka hayat bateri pula boleh mencapai 14 hari (mod jam tangan pintar), 30 jam (mod GPS) dan 6.5 jam (khusus untuk variasi muzik).

Sementara itu, skrin berwarna pada Garmin Forerunner 255S dan Garmin Forerunner 255 Music pula bersaiz 1.1-inci dengan resolusi 218 X 218 piksel dan Corning Gorilla Glass 3. Bateri yang disertakan mampu bertahan sehingga 12 hari (mod jam tangan pintar), 26 jam (mod GPS) dan 5.5 jam (khusus untuk variasi muzik).

Dari segi fungsi, siri Forerunner 255 dilengkapi sejumlah sensor pemantauan kesihatan terbina seperti kadar degupan jantung, pola waktu tidur, tahap tekanan harian, penjejakan kesihatan wanita dan banyak lagi. Turut melengkapinya adalah lebih daripada 30 mod sukan terbina, di samping kebolehan cadangan sukan harian mengikut kesesuaian dan jurulatih terbina untuk panduan pengguna baharu.

Lain-lain spesifikasi termasuklah pembayaran nirtunai Garmin Pay, sokongan GNSS dengan kebolehan menavigasi lebih tepat, pemberitahuan pintar, ciri keselamatan serta insiden dan Livetrack yang membolehkan rakan atau keluarga menjejak lokasi masa nyata pengguna.

Untuk harga, Garmin Forerunner 255 dan Garmin Forerunner 255S dijual pada $349.99 (~RM1,535). Sementara itu, Garmin Forerunner 255 Music dan Garmin Forerunner 255S Music pula berharga $399.99 (~RM1,754).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd