Carian
Garmin Forerunner 955 Dilengkapi Panel Solar Supaya Bateri Bertahan Sehingga 10 Hari
June 1, 2022 Effi Saharudin

Perkara yang paling kami kurang gemar dengan jam tangan pintar ialah ia perlu dicas setiap dua hari sekali. Leceh memandangkan di rumah terdapat pelbagai peranti lain yang perlu dicas dan tidak cukup pula palam. Garmin Forerunner 955 yang dilancarkan hari ini dilengkapi panel solar terbina pada muka jam yang membolehkan ia beroperasi sehingga 10 hari.

Ia dilengkapi skrin sebesar 46mm dengan sokongan sesentuh. Panel solar pada muka jam mengecas semula peranti secara perlahan dan oleh sebab itu ia tidak boleh menjadi jam yang berfungsi selama-lamanya tanpa perlu di cas. Terdapat pelbagai ciri penjejakan dan kesihatan standard yang sinonim dengan jam tangan Garmin.

Dengan sistem GPS terkini, penjejakan lokasi yang lebih tepat dapat dilakukan walaupun pengguna berada di kawasan yang biasanya mendatangkan isu kepada GPS biasa. Di luar sistem kesihatan, Forerunner 955 menyokong muat turun muzik dari Spotify, Garmin Pay, notifikasi dari telefon dan jurulatih maya terus dari jam. Garmin Forerunner 955 dijual pada harga $500 (~RM2191) untuk versi asas dan $600 (~RM2629) untuk versi dengan pengecasan solar.

Komen