Microsoft Surface Laptop Go adalah komputer mampu milik Surface yang mula dilancarkan pada tahun 2020. Ia mempunyai spesifikasi asas dengan rekaan seakan peranti Surface yang premium. Kini selepas dua tahun, Microsoft telah melancarkan pula Surface Laptop Go 2 sebagai pengganti.
Skrin yang digunakan masih kekal sama, iaitu 12.4-inci PixelSense dengan nisbah paparan 3:2 dan resolusi 1536 x 1024. Apa yang menarik adalah, cip pemprosesan yang digunakan kali ini lebih berkuasa iaitu Intel Core i5-1135G7 dengan GPU Intel Iris Xe yang dipadankan dengan memori 4GB atau 8GB RAM LPDDR4x serta storan dalaman 128GB atau 256GB SSD yang boleh ditukar. Pilihan 16GB turut ditawarkan tetapi hanya untuk pengguna perusahaan.
Berita baik adalah, tiada lagi pilihan storan 64GB eMMC yang perlahan. Sokongan pengimbas cap jari turut dikekalkan, tetapi pada model yang lebih premium dan tiada pada model asas. Untuk kamera, ia masih menggunakan kamera 720p HD f/2.0. Manakala untuk audio, speaker Omnisonic dengan Dolby Audio Premium disertakan dan mempunyai dwi-mikrofon bertaraf studio.
Bateri dikatakan boleh bertahan sehingga 13.5 jam dengan pengecasan USB-C atau Surface Connect. Sambungan USB-A dan port bicu audio 3.5mm turut disertakan. Sokongan WiFi 6 dan Bluetooth 5.1 turut ada pada komputer riba ini untuk kemudahan pengguna.
Rekaan Surface Laptop Go 2 masih lebih kurang sama, dengan elemen Surface premium. Binaannya adalah Aluminium. Warna baru yang ditawarkan kali ini adalah Sage dengan pilihan warna lain seperti Platinum, Sandstone atau Ice Blue.
Harga jualan adalah bermula pada $599 (~RM2625) dan buat masa ini masih tiada pengumuman sama ada akan dijual di Malaysia ataupun tidak.