Komputer riba siri Titan keluaran MSI biasanya diperlihatkan sebagai sebuah pengganti komputer desktop yang tampil dengan ciri-ciri dan juga prestasi kelas kayangan yang hanya boleh diimpikan oleh orang ramai.
Terkini, MSI akhirnya telah memperkenalkan MSI Titan GT77, model terbaru dalam siri komputer riba Titan mereka, dan juga merangkap komputer riba paling berkuasa mereka setakat ini. Ia hadir dengan paparan skrin bersaiz 17 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz.
Dari segi pilihan CPU, MSI Titan GT77 ini akan hadir dengan beberapa penawaran, yang mana ia termasuklah Intel Core i9-12900HX, sokongan untuk empat DIMM memori dan juga slot storan SSD PCIe 4.0 untuk mereka yang memerlukan jumlah memori dan storan yang banyak.
Dari segi pilihan kad grafik pula, komputer riba ini dilihat hadir dengan pilihan sehingga NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti yang dilihat cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja jenis permainan komputer pada resolusi 4K komputer riba ini tanpa masalah.
MSI mengatakan bahawa komputer riba ini mempunyai rekaan yang nipis untuk saiznya pada sekitar 23mm, dan ialah seberat 3.1kg, iaitu 1kg lebih ringan berbanding dengan model sebelumnya.
Satu lagi keunikan pada komputer riba MSI Titan GT77 ini ialah ia hadir dengan papan kekunci mekanikal terbina dengan suis berprofil rendah oleh Cherry MX, pembuat suis papan kekunci mekanikal yang terkemuka dari negara Jerman.
Dalam pada itu, MSI turut memperkenalkan komputer riba produktiviti paling berkuasa mereka, MSI CreatorPro X17 yang mempunyai rekaan dan spesifikasi yang sama dengan MSI Titan GT77. Satu-satunya perbezaan, menurut MSI ialah model komputer riba ini hadir dengan kad grafik NVIDIA RTX A5500 16GB, iaitu kad grafik untuk tujuan olahan grafik dan video untuk kelas komputer riba.
Tarikh dan harga jualan komputer-komputer riba ini tidak diketahui lagi buat masa ini.