Kad Grafik Akan Datang Dilihat Memerlukan Sistem Penyejukan Yang Lebih Berkuasa

Diterbitkan pada Jun 2, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tatkala teknologi pengguna rata-rata memperlihatkan rekaan yang lebih mesra-alam dan menggunakan kuasa yang lebih rendah, industri perkomputeran desktop nampaknya sedang bergerak kearah songsang dengan pengenalan komponen-komponen yang memakan lebih banyak kuasa berbanding sebelum ini.

DigiTimes telah melaporkan bahawa dua syarikat yang mempunyai kepakaran dalam membina sistem penyejukan komponen komputer, Auras Technology dan Sun Max mengatakan bahawa orang ramai akan perlu bersedia untuk membina komputer dengan penggunaan kuasa yang lebih tinggi sekiranya mereka mahukan sebuah komputer berkuasa, kerana ini nampaknya norma baharu untuk pembinaan kad grafik di masa terdekat ini.

NVIDIA dan AMD misalnya dijangka akan memperlihatkan penawaran kad grafik terbaru mereka dalam masa beberapa bulan ini. NVIDIA GeForce RTX 4090 dijangka akan memakan sebanyak 600W kuasa apabila digerakkan dengan permainan komputer moden, manakala kad grafik AMD Radeon akan datang dilihat hadir dengan jumlah kuasa pemprosesan dua kali ganda berbanding dengan penawaran paling berkuasa dalam siri kad grafik RDNA 2 mereka.

Kedua-dua Auras Technology dan Sun Max mengatakan bahawa mereka telah melaburkan berjuta-juta dolar untuk membina komponen-komponen penyejukan untuk kad-kad grafik ini, dan juga untuk sistem penyejukan komputer riba, khususnya sistem penyejukan kebuk wap (vapor chamber) yang digunakan pada beberapa komputer riba keluaran ASUS dan sebagainya pada tahun ini.

Ia dijangka bahawa sekiranya anda mahu membina sebuah komputer yang menggunakan komponen-komponen Intel Core i9, AMD Ryzen 9, RTX 4090 ataupun kad grafik AMD terbaru yang paling berkuasa, anda akan memerlukan sebuah bekalan kuasa dengan jumlah kuasa sekitar 1200-1500W tidak lama lagi.

Walaupun ini bukanlah sesuatu yang baru untuk mereka yang sudahpun berkecimpung dalam hobi membina komputer berkuasa, mereka yang mungkin baru mahu menjinakkan diri idalam industri ini mungkin akan mahu melihat keperluan binaan komputer mereka terlebih dahulu.

Bergantung kepada model kad grafik yang dibeli, kad-kad grafik akan datang juga dijangka bukan sahaja memakan jumlah kuasa yang banya, tetapi akan mengambil lebih banyak slot pengembangan dalam rangka komputer anda.

komen


© Amanz / 2022 Kami