Di Malaysia rangkaian 5G masih belum dilancarkan di seluruh negara kerana pelbagai isu antara DNB dan syarikat telekomunikasi utama. Korea Selatan pula ialah negara terawal melancarkan rangkaian 5G dan kini mereka maju selangkah lagi selepas Samsung melancarkan pula rangkaian 5G peribadi untuk syarikat NAVER.

Sistem rangkaian 5G Samsung digunakan NAVER di ibu pejabat kedua mereka 1784 untuk mengawal 40 robot yang bergerak sendiri dengan bebas. Ini dilakukan kerana ia menggunakan sistem pengkomputeran awanan NAVER yang disokong pula oleh rangkaian 5G Samsung. Robot bertugas membawa bungkusan, makanan serta minuman yang dipesan kakitangan. Bagi mengurangkan keperluan pemprosesan pada robot, kesemua pemprosesan dilakukan dari satu komputer utama yang menggunakan pengkomputeran awanan.

Pada peringkat awal robot swapandu ini akan bertugas di tiga tingkat bangunan sahaja dengan ia boleh menaiki lif tanpa sebarang bantuan manusia. Di masa depan ia akan dibenarkan pula beroperasi bebas di kesemua 36 tingkat bangunan 1784. Projek ini menunjukkan bagaimana teknologi 5G peribadi boleh digunakan untuk automasi di pejabat apabila digabungkan dengan pengkomputeran awanan.