Asus kini dalam persediaan untuk pengenalan peranti permua baharu mereka iaitu Asus ROG Phone 6. Melaluinya, kita boleh menyasarkan lebih banyak penambah-baikan menarik yang bakal dibawakan oleh Asus melalui variasi baharu ini.
Salah satu daripadanya kini telah dikongsi di mana ia bakal menggunakan skrin AMOLED dengan kadar segar semula 165Hz. Ini adalah satu peningkatan berbanding variasi terdahulu yang disertakan dengan skrin 144Hz. Ia juga boleh dianggap satu nilai tambahan menarik pada peranti itu sendiri. Sebabnya, pengalaman peranti yang lancar semestinya boleh dirasai terutama sekali buat mereka yang gemar bermain permua.
Turut difahamkan, skrin berkenaan akan dibekalkan oleh Samsung dengan teknologi eksklusif oleh ROG untuk pengalaman penggunaan lebih memuaskan. Dalam masa sama, peranti turut dikhabarkan lengkap dengan teknologi Solar Core 3.1 yang disesuaikan oleh Tencent.
Teknologi tersebut dikatakan mampu mengoptimumkan peranti untuk pengalaman permainan tanpa lengah (delay). Di sini, jelas menunjukkan Asus sekali lagi bekerjasama dengan Tencent. Tiada sebarang imej yang menunjukkan rekaan pada peranti, tetapi ia dikhabarkan hadir dengan rekaan seumpama model sebelumnya dengan sistem tri-kamera di belakang.