NVIDIA GeForce RTX 4080 Dijangka Hadir Dengan TDP Setinggi 420W

Diterbitkan pada Jun 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa minggu yang lalu, kami telah melaporkan bahawa sejumlah pembuat komponen penyejuk mengatakan yang kad-kad grafik akan datang keluaran AMD dan NVIDIA akan memperlihatkan penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi berbanding dengan model-model sebelum ini.

Terkini, peniris maklumat komponen komputer terkemuka @kopite7kimi mengatakan bahawa kad grafik berprestasi tinggi NVIDIA GeForce RTX 4080 akan tampil dengan penggunaan kuasa elektrik setinggi 420W.

Jika benar, kad grafik ini yang akan menggunakan cip pemprosesan NVIDIA AD103 (Ada Lovelace) dan memori GDDR6X akan memperlihatkan peningkatan penggunaan kuasa setinggi 100W berbanding dengan model NVIDIA GeForce RTX 3080 sebelum ini yang hadir dengan jumlah TDP setinggi 320W.

Ini mungkin tidak begitu mengejutkan apabila anda lihat bahawa NVIDIA GeForce RTX 4090, yang akan menjadi kad grafik keluaran NVIDIA yang paling berkuasa setakat ini akan memperlihatkan penggunaan kuasa setinggi 450-500W.

Apa yang mungkin akan hadir sebagai butiran yang mengejutkan ialah kemungkinan bahawa kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 akan tampil dengan niai TDP yang lebih berbanding dengan NVIDIA GeForce RTX 3070, yang pada kami ialah sebuah kad grafik yang cukup berkuasa dan mampu menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula tinggi dan resolusi 4K pada kadar segar semula 60FPS.

komen


© Amanz / 2022 Kami