Carian
Kuo – Jualan Set Kepala AR Apple Ditangguh Ke Q2 2023
June 8, 2022 Effi Saharudin

Di acara WWDC semalam, ramai menantikan Apple untuk memberikan beberapa gambaran awal set realiti terimbuh (AR) mereka selepas terdapat ura-ura ia akan didedahkan pada acara tersebut. Tetapi ini tidak berlaku menimbulkan beberapa spekulasi mengenai set kepala AR mereka. Yang hanya dapat dilihat di awal WWDC ialah MeMoji dengan set kepala yang disorokkan dari pandangan penuh.

Penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo kini mengatakan pelancaran set kepala ini telah ditangguh ke Q2 2023 berikutan gangguan operasi di China disebabkan oleh Covid. Menurut ramalan beliau set kepala akan diperlihatkan pada Januari 2023 dengan pesanan dibuka pada Q2 2023. Peranti akan dijual sebelum WWDC 2023 dengan acara akan digunakan untuk memperlihatkan perkara menarik yang boleh dilakukan pengguna dengan set kepala kelak.

Kuo mempunyai rekod yang baik dalam meramalkan produk yang akan dilancarkan oleh Apple. Set kepala AR dilihat sebagai evolusi seterusnya buat Apple seperti mana iPod dan iPhone mengubah trajektori syarikat sejak 20 tahun yang lalu. Ini juga menyebabkan syarikat lain seperti Meta dan Samsung turut membangunkan projek set kepala sendiri untuk tidak ketinggalan menceburi dunia metamesta.

Komen