Cari @ Amanz

Redmi sejak kebelakangan ini aktif dalam menjual monitor. Baru beberapa bulan lepas, mereka melancarkan monitor 30-inci melengkung dengan kadar segar semula 200Hz. Terkini di China, mereka hadir dengan monitor 27-inci untuk produktiviti pula.

Monitor ini hadir dengan skrin 4K beresolusi 3840 x 2160 dengan sokongan pemalapan menyeluruh (global dimming). Ia menggunakan skrin jenis rata yang menyokong sudut pandangan sehingga 178 darjah, paparan DisplayHDR 400, sRGB 100% dan DCI-P3 95%. Ia juga hadir dengan perlindungan cahaya biru untuk mata pengguna.

Ia menggunakan sambungan USB-C yang boleh menyokong sambungan laptop ke monitor serta pengecasan 65W. Turut disediakan adalah port HDMI 2.1 TMDS (HDMI 2.0), port bicu audio 3.5mm dan 2x USB-A 3.0. Monitor ini turut mempunyai mod khas untuk sambungan ke MacBook melalui menu OSD.

Monitor ini turut membenarkan pengguna mengubah ketinggian, ubah posisi sama ada menegak atau melintang serta sudut pandangan juga boleh diubahsuai.

Redmi 4K monitor 27-Inci ini dijual di China pada harga RMB 2,299 iaitu sekitar RM1500, yang mana boleh dikatakan cukup premium untuk Redmi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd