Grab hari ini berkongsi berkenaan GrabMaps, iaitu platform pemetaan yang dibangunkan sendiri oleh mereka – dan bakal menjana perkhidmatan Grab sepenuhnya pada suku ketiga 2022 ini.
Grab mengatakan sistem pemetaan masa kini tidak dioptimasikan sepenuhnya untuk rantau Asia Tenggara. Kadang-kala, sejumlah kawasan tidak dipetakan, dan pelbagai kawasan tidak disenaraikan. Pada masa yang sama, peta juga turut tidak dioptimasikan untuk pengguna motosikal yang mempunyai laluan sempit atau berasingan.

GrabMaps dilihat ingin mengatasi perkara ini, dan lebih dioptimasikan unntuk pasaran Asia Tenggara.
Grab telah pun sedia membangukan pangkalan data tersendiri, disamping bekerjasama dengan komuniti OpenStreetMaps. Grab sendiri telah menambah lebih 800,000 kilometer jalan di OpenStreetMap sehingga kini.

Grab dengan ribuan pemandu dan penghantar makanan di atas jalan raya, mereka sedia mendapatkan data masa-nyata, dalam membentuk pemetaan yang baik dibawah mereka. Pada masa yang sama, Grab turut bekerjasama dengan pelbagai rakan kerjasama – termasuk pemilik perniagaan dan pemandu dalam mendapatkan data pemetaan seperti lokasi parkir, tempat ambil pelanggan, dan sebagainya.
Grab juga menggunakan konsep “sumber-sama”, dimana ramai pemandu turut boleh menyumbang sejumlah data, dan menjana pendapatan tambahan melaluinya.

GrabMaps menawarkan bukan sekadar lokasi dan tempat parkir sahaja, tetapi turut menyertakan kiraan masa untuk tiba ke sesuatu destinasi, sokongan navigasi, sokongan trafik masa-nyata, selain mengetahui pelbagai lokasi berhampiran menarik.
Grab mengatakan mereka akan beralih menggunakan GrabMaps sepenuhnya pada platform mereka menjelang suku ketiga 2022 kelak. Langkah ini dijangka akan mengoptimasikan lagi kos operasi, disamping menawarkan lebih kejituan pada pemetaan.

Grab turut menyatakan mereka akan menawarkan GrabMaps kepada perusahaan yang perlukan sokongan pemetaan baik.