Black Shark kini telah memperkenalkan dua telefon pintar mereka untuk pasaran tempatan, iaitu Black Shark 5 dan juga Black Shark 5 Pro. Kedua-dua telefon ini memfokuskan kepada permua, dan hadir dengan pengoptimasian khusus – selain sejumlah spesifikasi tinggi untuknya.
Membezakan kedua-duanya adalah dari segi spesifikasi cip. Black Shark 5 dijana cip Snapdragon 870, sementara Black Shark 5 Pro adalah Snapdragon 8 Gen 1.
Selain itu, kamera utama Black Shark 5 adalah kamera 64-megapixel, sementara Black Shaark 5 Pro membawakan kamera utama 108-megapixel dibelakang.
Selain daripada itu, spesifikasi adalah lebih kurang sama. Kedua-duanya hadir dengan skrin 6.67-inci AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, bateri 4650mAh dengan pengecasan pantas 120W, dan juga kamera hadapan 16-megapixel.
Kedua-duanya juga turut hadir dengan sokongan alat-kawalan permua magnetik berbentuk pop-naik, selain menyertakan pengoptimasian khusus melalui antaramuka JoyUI 13.
Di Malaysia, Black Shark 5 ditawarkan pada harga RM2299 untuk model 8GB RAM dan 128GB, sementara model 12GB RAM dan 256GB dijual pada harga RM2699.
Untuk Black Shark 5 Pro pula, ia ditawarkan pada harga bermula RM3699 untuk model 12GB RAM dan 256GB storan, sementara model 16GB dan 256GB storan pada harga RM3999.