Xiaomi bukan sahaja terkenal dengan telefon pintar mereka yang mampu milik dengan spesifikasi yang menarik. Mereka juga terkenal dengan pelbagai produk rumah pintar, pelbagai aksesori dan juga kotak set dan dongel Android TV.
Kotak set terbaru Xiaomi yang baru dilancarkan di China baru-baru ini adalah Mi Box 4s MAX. Ia dijana dengan cip pemprosesan empat-teras Amlogic S905X3 64-bit dengan padanan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Ia juga antara kotak set yang hadir dengan port HDMI 2.1, boleh memaparkan kandungan 4K dan 8K serta menyokong paparan dinamik HDR.

Untuk audio, kotak set ini menyokong Dolby dan DTS, WiFi, serta siaran daripada telefon ke skrin TV. Mi Box 4s MAX turut mempunyai aplikasi Mijia untuk kawalan rumah pintar, sokongan pembantu digital XiaoAI, alat kawalan jauh dan menjalankan MIUI for TV.

Buat masa ini hanya versi China yang diumumkan, tidak pasti sama ada versi global dengan Android TV atau Google TV akan dilancarkan ataupun tidak. Di China, Mi Box 4s MAX ini dijual pada harga RMB 499 iaitu sekitar RM328.