Meta Menghentikan Pembangunan Jam Tangan Pintar Facebook

Diterbitkan pada Jun 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meta, syarikat disebalik Facebook kini dilaporkan telah menghentikan pembangunan jam tangan pintar mereka tersendiri, sementara sedang melihat kepada peranti lain yang terpakai pada pergelangan tangan.

Sebelum ini, jam tangan pintar Facebook telah dalam pembangunan untuk tempoh sekitar dua tahun, dan turut menyertakan kamera secara terbina padanya. Jam tangan pintar ini sebelum ini dilihat boleh digunakan untuk merakamkan gambar, disamping turut merakamkan pergerakan untuk digunakan bersama peranti lain – seperti untuk arena realiti-maya.

Ia dikatakan pihak Meta telah memaklumkan jam tangan pintar berkenaan kini tidak lagi dirancang untuk pengeluaran dan pemasaran. Beberapa laporan sebelum ini mengatakan ia dirancang untuk pelancaran 2023, tetapi dengan perkembangan terbaru ini, kita mungkin tidak akan melihatnya lagi.

Jam tangan pintar yang telah dibangunkan setakat ini, dikatakan menyertakan sokongan aplikasi seperti Spotify, Instagram, WhatsApp dan sebagainya – selain menyokong sambungan selular secara eSIM.

Dengan perubahan perancangan ini, sama-sama kita nantikan apakah perancangan Meta seterusnya dalam arena peranti dan perkakasan.

komen


© Amanz / 2022 Kami