Mungkin ramai sedia mengenali akan nombor Pi, yang mana ditulis sebagai 22/7 atau dalam angka perpuluhan ia dibundarkan kepada 3.142. Angka ini sering digunakan dalam mengira nisbah lilitan sesuatu bulatan terhadap garis pusatnya.
Apa pun, menariknya kini rekod baharu dicatatkan apabila melalui penggunaan komputer awanan Google, angka Pi dapat dihitung sehingga kepada 100 trilion digit.
Kejayaan ini sekaligus memperlihatkan keupayaan dan kelajuan operasi Google Cloud yang berjaya melaksanakan pengiraan ini.
Pengiraan ini dilakukan melalui program dinamakan y-cruncher, menggunaka sebuah algoritma dinamakan Chudnovsky. Pengiraan angka Pi ini telah dimulakan pada 14 Oktober 2021 lepas, dan selesai kiraannya pada 21 Mac 2022 lepas – meliputi tempoh 157 hari, 23 jam, 31 minit.