Microsoft Mahukan Pembangun Komputer Riba Untuk Tidak Menggunakan Cakera Keras Sebagai Storan Utama Menjelang 2023

Diterbitkan pada Jun 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apabila membeli komputer riba, salah satu daripada perihal yang diberikan perhatian ialah penggunaan storan dalam sesebuah peranti tersebut. Komputer-komputer hari ini secara lazimnya menggunakan storan SSD berbanding dengan cakera keras kerana prestasinya yang jauh lebih pantas berbanding dengan cakera keras.

Akan tetapi masih lagi terdapat beberapa jenama komputer riba yang masih lagi menggunakan cakera keras sebagai storan utama kerana kosnya yang lebih rendah berbanding dengan SSD. Cakera keras juga lazimnya mempunyai nilai storan yang lebih tinggi berbanding dengan SSD pada harga yang sama.

Cakera Keras

Terkini, laporan daripada TrendFocus, sebuah syarikat penganalisa storan data telah mengatakan bahawa Microsoft, salah sebuah syarikat teknologi terbesar yang mahsyur dengan sistem operasi Microsoft Windows mereka telah meminta semua pembuat komputer riba untuk tidak menggunakan lagi cakera keras sebagai pilihan storan utama menjelang 2023 kelak apabila disertakan bersama sistem operasi mereka.

Selain daripada masa memulakan komputer yang lebih pantas, Microsoft membuat permintaan ini kerana dua daripada ciri utama sistem operasi Windows 11, iaitu Microsoft DirectStorage dan Windows Subsystem for Android memerlukan prestasi storan SSD yang pantas.

Microsoft DirectStorage ialah sebuah ciri yang mempercepatkan proses memulakan permainan-permainan komputer dan perisian kreatif, manakala Windows Subsystem for Android membolehkan aplikasi Android digunakan secara lalai pada sistem operasi tersebut.

Timbalan President TrendFocus, John Chen mengatakan bahawa memaksa penggunaan SSD berbanding dengan cakera keras akan membuatkan syarikat-syarikat OEM lebih sukar untuk menawarkan komputer riba yang lebih mampu milik. Menukarkan cakera keras dengan storan 1TB untuk sebuah SSD pada nilai yang sama hanya akan memberikan storan SSD sebesar 256GB.

Terdapat banyak perniagaan dan individu yang mungkin lebih mementingkan jumlah storan yang lebih tinggi dan tidak begitu menghiraukan ciri-ciri seperti DirectStorage ataupun sokongan aplikasi Android pada komputer mereka.

Buat masa ini, syarikat-syarikat pembuat komputer riba OEM masih lagi tidak memutuskan kata sepakat untuk mengikuti permintaan Microsoft ataupun tidak.

komen


© Amanz / 2022 Kami