Apple Dijangka Memperkenalkan Komputer Riba Dengan Saiz Paparan Baru Menjelang 2023 Kelak

Diterbitkan pada Jun 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada acara WWDC yang berlangsung beberapa hari yang lalu, Apple telah memperkenalkan cip pemprosesan untuk komputer riba terbaru mereka, Apple M2 dan juga model Macbook Air yang menggunakan cip pemprosesan tersebut.

Terkini, Bloomberg melaporkan bahawa Apple akan memperlihatkan beberapa model komputer riba baru menjelang tahun 2023 kelak, dengan pengenalan sebuah MacBook Air dengan paparan bersaiz 15 inci dan juga komputer riba paling kecil mereka dengan paparan bersaiz 12 inci.

MacBook Air dengan paparan 15 inci ini dijangka akan dibangunkan untuk mereka yang mahukan sebuah komputer riba nipis dan ringan tetapi masih mahukan paparan yang lebih besar daripada apa yang ditawarkan oleh MacBook Air hari ini, manakala MacBook dengan paparan 12 inci adalah untuk mereka yang benar-benar mahukan sebuah komputer riba padat dan tidak begitu gemar menggunakan iPad sebagai peranti produktiviti harian mereka.

MacBook dengan paparan bersaiz 12 inci bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebelum ini pernah diperkenalkan dibawah model MacBook Air pada tahun 2015 dan dihentikan pengeluarannya pada tahun 2019 berkemungkinan kerana pasaran yang tidak begitu memberangsangkan.

MacBook bersaiz 12 inci ini dijangka akan diperkenalkan pada penghujung tahun 2023 atau awal 2024, tetapi buat masa ini Apple masih tidak mengesahkan samada mereka benar-benar akan memperkenalkan semula model ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami