Cari @ Amanz

Teropong angkasa lepas James Web masih belum lagi beroperasi sepenuhnya dengan pelbagai ujian dan penentukuran sedang dilakukan oleh NASA. Tetapi misi ini sudahpun berhadapan cabaran selepas salah satu segmen cerminnya telah dihentam oleh meteorit mikro.

Di antara 23-25 Mei yang lalu, sebuah meteorit mikro telah menghentam segmen C3. Walaupun James Webb direka untuk mempunyai ketahanan ke atas pelanggaran dengan objek di angkasa, meteorit mikro yang menghentamnya adalah lebih besar dari parameter rekaan.

Selepas analisa dilakukan, NASA yakin kerosakan yang disebabkannya tidak akan mengganggu prestasi pengambilan imej dan meneruskan misinya untuk menghantar imej penuh dengan data spektroskopi akan dihantar ke bumi pada 12 Julai seperti dirancangkan. James Webb ialah teropong angkasa paling besar pernah dihantar oleh manusia ke angkasa dengan cermin seluas sebuah gelanggang tenis.

Dengan cermin lebih besar, lebih banyak cahaya boleh ditangkap untuk mencari eksoplanet, mencari galaksi yang sedang terbentuk dan mengesan kesan-kesan letupan Bing Bang. Selain itu sensor pada James Webb boleh mengesan cahaya dengan julat panjang gelombang yang lebih besar membolehkan ia melihat lebih jauh ke angkasa lepas.

Projek teleskop yang sepatutnya menggantikan teleskop Hubble ini ditangguh beberapa kali kerana isu teknologi, teknikal, kemalangan, roket dan pandemik. Kos membangunkan projek yang melibatkan NASA, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Angkasa Kanda (CDA) turut telah melonjak ke $10 bilion berbanding anggaran asal $500 juta.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd