Allo Menyasarkan 300 Ribu Premis Akan Menerima Sambungan Internet Pantas Menjelang Hujung Tahun Ini

Diterbitkan pada Jun 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Allo, anak syarikat pembekal perkhidmatan internet dibawah naungan Tenaga Nasional Berhad baru-baru ini dilihat telah mengatakan bahawa mereka akan membekalkan sambungan internet gentian optik berkelajuan tinggi kepada 300 ribu premis di Semenanjung Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Allo sebelum ini memulakan penawaran perkhidmatan internet di Melaka telah mengembangkan perkhidmatan mereka ke pelbagai negeri lain, termasuklah Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan kini telah berjaya menghubungkan lebih 180 ribu premis dengan sambungan internet.

Selain daripada menawarkan perkhidmatan internet mereka sendiri, pihak Allo turut mengatakan bahawa syarikat-syarikat pembekal internet boleh menggunakan infrastruktur gentian optik mereka untuk membekalkan lebih banyak premis dengan sambungan internet pantas, sama seperti apa yang dilakukan oleh Telekom Malaysia dengan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang lain.

CEO Allo, Ir. Mohamed Ghous Ahmad mengatakan bahawa dengan infrastruktur Tenaga Nasional yang sedia ada di seluruh Semenanjung Malaysia, mereka dijangka boleh mengembangkan lagi infrastruktur gentian optik di lokasi-lokasi tambahan pada kos yang jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat lain.

Pengurangan kos ini juga dijangka dapat membolehkan syarikat tersebut menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi pada harga lebih mampu milik, sejajar dengan matlamat inisiatif JENDELA.

komen


© Amanz / 2022 Kami