Carian
Aplikasi Amazon Kini Membenarkan Pengguna Mencuba Kasut Dengan AR
June 10, 2022 Fahim Zahar

Dengan Apple ARKit, pembangun boleh menggunakan API dan kod daripada Apple untuk memanfaatkan ciri realiti terimbuh yang terbina dalam iOS pada iPhone atau iPad. Dengan iPhone 12 Pro dan 13 Pro, ia lebih imersif kerana adanya sensor LiDAR.

Ikea Home App antara aplikasi yang memanfaatkan Apple ARKit, membolehkan pengguna menyusun atur perabot dalam rumah dengan produk digital untuk gambaran sebelum membeli. Terkini, Amazon pula menambah ciri realiti terimbuh pada aplikasi membeli-belah mereka di Amerika Syarikat.

Ciri ini membenarkan pengguna mencuba kasut sebelum membeli dengan realiti terimbuh. Antara jenama kasut yang boleh dicuba adalah New Balance, adidas, Reebok, Puma, Superga, Lacoste, Asics, dan Saucony.

Ciri yang diberi nama Virtual Try-On ini boleh diakses semasa pengguna memilih kasut di Amazon untuk ditambah ke dalam troli. Selepas kasut dicuba, warna atau rekaan kasut turut boleh diubah terus dari antaramuka yang sama dan kaki juga boleh digerakkan untuk melihat daripada pelbagai sudut lain.

Virtual Try-On ditawarkan terus melalui aplikasi Amazon pada iOS untuk pengguna di Amerika Syarikat dan Kanada.

Komen