Dalam karya fiksyen Ghost in The Shell oleh Masamune Shirow, android di masa hadapan sukar dibezakan dengan manusia. Teknologi yang sama turut muncul dalam karya fiksyen lain seperti Blade Runner dan Alien. Tetapi fiksyen kini semakin hampir menjadi fakta selepas kejayaan penyelidik dari University of Tokyo menghasilkan robot dengan kulit manusia yang hidup.

Pasukan dari University of Tokyo menghasilkan jari untuk sebuah robot. Bahagian luar jari ini kemudiannya disalut oleh kulit hidup yang tumbuh daripada sel kulit manusia sebenar. Apabila jari robot dilentur, kulit buatan makmal ini bergerak seperti kulit pada jari manusia sebenar. Sekiranya kulit ini koyak, lapisan kolagen boleh digunakan untuk menampalnya seperti kulit hidup.

Tetapi robot dengan kulit manusia masih lagi belum sedia menjadi realiti kerana kulit buatan makmal ini memerlukan bekalan nutrien berterusan untuk hidup. Saintis dari University of Nokia kini akan cuba memberikannya kuku, saraf dan folikel bulu roma supaya ia boleh menyerupai kulit manusia sebenar.

- Sumber
- Sumber – University of Tokyo