Cari @ Amanz

Dell XPS 13 dan Dell XPS 13 2-in-1 baharu telah diumumkan minggu ini. Apakah pembaharuan yang dilakukan oleh Dell pada model tahun ini? Jawapannya ialah rekaan semula komponen dalaman dengan papan induk mempunyai saiz 1.8 kali lebih kecil berbanding model tahun lalu. Hasilnya ialah komputer riba dan komputer tablet yang lebih nipis, ringan dan rekaan yang lebih padat.

Dell XPS 13 dilengkapi skrin 13.4″ dengan resolusi sehingga 4K, Dolby Vision dan sokongan sentuhan, dijana cip Intel Gen-12 siri U, memori sehingga 32GB LPDDR5-5200, storan sehingga 1TB SSD PCIe 4.0, dan bateri 51Wh.

Teknologi papan induk telefon pintar digunakan pada XPS 13 bagi menghasilkan papan induk yang jauh lebih kecil. Hasilnya ialah Dell mampu meletakkan pembesar suara dengan kebuk audio lebih besar berkuasa 4W. Sokongan rangkaian pula ialah WiFi 6E, dan tambatan bluetooth 5.2. Pilihan I/O adalah agak terhad dengan hanya dua port US-C Thunderbolt 4. Kamera web juga sekadar 720P. Keseluruhan komputer riba adalah sebesar 1.17 kg sahaja.

Dell XPS 13 2-in-1 pula dilengkapi skrin 13″ dengan resolusi sehingga 3K, Dolby Vision, sokongan sentuhan dan XPS stylus. Ia dijana cip Intel Gen-12 siri U, memori sehingga 16GB LPDDR4x-4266, storan sehingga 1TB SSD PCIe 4.0, dan bateri 49.5Wh.

Terdapat kamera web 1080p di hadapan dan kamera utama 11MP di belakang. Ia turut hanya dilengkapi 2x USB-C Thunderbolt 4. Sambungan selular 5G diberikan sebagai pilihan bersama dengan WiFi 6E dan bluetooth 5.2. Keseluruhan komputer dengan papan kekunci boleh-tanggal adalah seberat 736 gram sahaja.

Harga jualan untuk Dell XPS 13 bermula dari $999 (~RM4397) sebuah manakala harga jualan Dell XPS 13 2-in-1 masih belum diumumkan lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd