Cari @ Amanz

Di lautan dalam, jerung gergasi putih ialah haiwan pemangsa apeks yang tidak mempunyai pemburu semula jadi kecuali manusia. Ia memburu dengan buas sehingga dijadikan watak utama siri filem Jaws. Dalam dunia peranti untuk permua, Black Shark 5 Pro mungkin adalah jerung gergasi putih kerana kemampuannya yang tinggi dipadakan dengan rekaan yang mantap serta ciri tambahan yang tiada tolok bandingnya pada waktu ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Black Shark 5 Pro
Skrin6.67″ AMOLED,
1080 x 2400 pixel, 144Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12/16 GB
Muatan Dalaman256 UFS
Kamera Utama108+13+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto16 f/2.45 Megapixel
Bateri4650 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM3699 (12/256GB)
RM3999 (16/256GB)

Saya merindui rekaan Black Shark 3 Pro yang lebih agresif dengan belakang logam yang terasa kukuh di dalam tangan. Pada Black Shark 5 Pro ia digantikan dengan panel plastik rata dengan kemasan yang membuatkan ia berkilauan seperti pelangi pada sudut tertentu. Rekaan plastik Black Shark 5 Pro sekiranya-kurangnya tidak membosankan seperti pada Black Shark 4 Pro yang gagal membuatkannya kelihatan seperti sebuah peranti untuk permua. Penggunaan panel plastik ini membuatkan peranti 33 gram lebih ringan berbanding Black Shark 3 Pro. Tetapi saya adalah dalam golongan minoriti yang sukakan peranti yang lebih berat khususnya jika ia sebuah peranti untuk permua.

Terdapat sebuah lampu LED kecil yang boleh dikawal warna yang dipaparkan berdasarkan tahap caj bateri, notifikasi, permua yang dimainkan dan panggilan telefon yang diterima. Sistem lampu LED juga tidak lagi agresif kerana kami merindui logo Black Shark yang menyala kerana ianya cukup berjaya. Sebuah bonggol yang sederhana besar melengkapi panel belakang. Ia menempatkan tiga sensor kamera dan sebuah lampu flash yang agak besar.

Di hadapan panel 6.67″ OLED yang digunakan adalah rata dengan sokongan sehingga 144Hz. Kadar segar semula yang agak tinggi tetapi ia masih tidak disokong oleh kebanyakan permua Android. Skrin yang sama juga menyokong format HDR10+ dan mempunyai sebuah lubang untuk kamera hadapan. Kedudukan lubang ini agak mengganggu ketika menonton video atau sesi permua. Tetapi seperti saya membiasakan diri dengan takuk besar iPhone, lubang ini tidak lagi mendatangkan masalah selepas beberapa hari.

Skrin melepasi piawaian HDR10+ tetapi semasa ulasan masih ditulis, hanya YouTube sahaja boleh memaparkan kandungan HDR. Tiada logo sokongan HDR pada aplikasi Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime Video. Ini mengecewakan kerana Black Shark 5 Pro dilengkapi sokongan DRM Widevine L1 yang membolehkan ia menyokong platform penstriman utama. Sekiranya HDR penting bagi anda, Black Shark 5 Pro adalah sedikit mengecewakan.

Yang tidak mengecewakan ialah skrin yang terang dan tajam sungguhpun hanya sekadar FHD+. Imej tajam, mengesan sentuhan dengan jitu dan paparan warna yang cukup terang. Aplikasi media sosial, melayari web dan menjalankan permua adalah amat baik sekali pada skrin ini. Kami hanya mohon pelindung skrin yang lebih tahan lasak diberikan kerana hanya selepas 4 hari, permukaan pelindung skrin pada unit yang diulas sudah mula menggelembung akibat sesi permainan yang panjang.

Satu lagi pujian yang ingin kami berikan ialah pada sistem haptik. Ianya sangat baik dan setanding dengan pengalaman kami menggunakan sebuah iPhone 13 Pro Max. Terasa tindak balas tampak yang realistik semasa mengubah kelantangan bunyi peranti. Turut menarik ialah skrin boleh mengesan tekanan yang kemudiannya boleh diprogramkan kepada ciri tertentu dalam permua seperti berlari.

Sebagai sebuah peranti untuk permua, Black Shark 5 Pro hadir dengan dua butang bahu fizikal Master Trigger yang agak besar. Ia perlu dikeluarkan secara manual sebelum boleh digunakan. Kesan bunyi seakan peluru memasuki kebuk pistol dihasilkan setiap kali butang bahu dikeluarkan dari tempat simpanan. Jika anda peminat permua FPS, kesan bunyi membuatkan anda terasa seperti seorang Duke Nukem, Doom Guy, Gordon Freeman dan Captain Price secara serta merta.

Butang bahu dan suis ini boleh diprogramkan bukan sahaja untuk permua. Anda boleh memprogramkannya untuk melakukan tangkapan layar, melancarkan kamera, mengambil gambar, menyalakan lampu suluh dan banyak lagi. Black Shark menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk menggunakan butang serta suis ini sesuka hati.

Peranti ini agak besar dan masih agak berat. Tetapi ini adalah dua ciri yang tidak mendatangkan masalah seperti sebuah peranti untuk permua kerana ia masih lebih ringan berbanding Nintendo Switch, Steam Deck dan alat pengawal permainan Sony Dual Sense.


Penggunaan Dan Perisian

Pelancar JOYUI 13 yang berasaskan Android 12 dan juga MIUI 13 digunakan pada peranti ini. Jika anda pernah menggunakan peranti Xiaomi sebelum ini, pengalaman JOYUI adalah sama cuma dengan beberapa ciri tambahan yang melayakkannya dipanggil sebuah peranti untuk permua.

Pertama sekali ialah Shark Space yang merupakan hab permua dalam peranti seperti Game Mode pada peranti lain di pasaran. Tetapan untuk setiap permua boleh dilakukan menerusi Shark Space. Mahukan kadar bingkai lebih tinggi, kuasa paling optimum, dan tahap kejituan pengesanan sentuhan yang berbeza untuk setiap permua? Ini boleh dilakukan terus menerusi Shark Space.

Gamer Studio juga kembali untuk kawalan lebih mudah perbagai ciri peranti terus dari talam yang ditarik dari atas. Penggunaan bateri, kuasa CPU, kadar bingkai, mematikan semua jenis gangguan ketika sesi permua, kawalan aksesori yang disambung dan kawalan Master Trigger turut dilakukan menerusi Gamer Studio.

Bagi yang ingin pembantu maya khusus untuk permua, Shark Chan juga kembali. Pembantu maya dengan avatar tiga dimensi yang boleh diletakkan terus pada skrin hadapan seperti sebuah imej latar belakang. Ia beranimasi sepanjang masa dan bersuara apabila notifikasi diterima. Ini ciri yang paling tidak begitu berguna kecuali anda insan yang memang memerlukan seorang isteri maya atau lebih dikenali sebagai WAIFU. Ciri waifu maya ini walau bagaimanapun terasa seperti sebuah gimik untuk menemani gamer yang sunyi sahaja.

Peranti mempunyai pelbagai lagi tetapan yang khusus untuk gaming seperti kawalan lampu, bateri dan notifikasi yang cukup mewah. Serasilah dengan statusnya sebagai sebuah peranti permua kelas mercu. Tiada kompromi pada prestasi dan ciri dilakukan oleh Black Shark.

Komen negatif yang boleh kami berikan hanyalah antaramukanya berbeza dari Android asli. Bagi mereka yang mencari antaramuka yang lebih stock, anda tidak akan menemuinya di sini. Isu iklan yang muncul dalam aplikasi serta pemasangan aplikasi juga ada tetapi ia boleh dimatikan oleh pengguna jika mengganggu.


Penanda Aras

Black Shark 5 Pro secara rasmi adalah peranti paling berkuasa pernah diulas di Makmal Amanz. Skor penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah.

  • Geekbench 5 – 1202/3693 Markah
  • Antutu 3D – 1,018,939 Markah

Markah yang dicatatkan adalah melangkaui yang dicatatkan oleh Vivo X80 Pro dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang sama. Yang menarik di sini ialah suhu cip meningkat sehingga 12.4% semasa diuji tetapi tidak menunjukkan isu throtting yang memperlahankannya. Markah dalam ujian Geekbench pula adalah masa di belakang Apple A15 Bionic yang mencatatkan 1716/4678 markah.

Prestasi menjalankan permua Black Shark 5 Pro adalah amat mengagumkan. Walaupun selepas menjalani 6 sesi MP berterusan dalam COD Mobile pada tetapan paling tinggi ia masih stabil dengan kadar bingkai 90 FPS. Isu pemanasan langsung tidak wujud seperti yang berlaku pada peranti lain dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Menjalankan Diablo Immortal juga tiada masalah tetapi prestasi hanya terganggu disebabkan pelayar terletak di Korea dan tidak ada kena mengenai dengan cip pemproses.

Kerana ia tidak terasa panas, kami boleh memainkan permua kegemaran lebih lama dan hanya hayat bateri sahaja yang mempu membuatkan kami berhenti dari terus bermain. Black Shark 5 Pro adalah sebuah peranti untuk permua yang cemerlang.


Telefoni Dan GPS

Telefoni adalah baik dengan tiada isu mendapatkan rangkaian 4G. Ketika artikel ditulis Black Shark 5 Pro masih belum disokong rangkaian 5G DNB maka kami tidak mampu mengujinya. Yang kami tahu ciri VoLTE dan VoWiFI boleh digunakan sekiranya syarikat telekomunikasi anda menyokongnya. Panggilan suara lebih jelas dapat dinikmati jika pilihan ini diaktifkan

Dengan sokongan WiFi 6 pula, kelajuan WiFi paling pantas boleh juga dinikmati jika anda mempunyai router ini di rumah. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan WiFi dan sesi permainan video dapat dinikmati dengan ping yang rendah.

GPS juga berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu. Aplikasi Waze dan Google Map dengan segera menjejak lokasi kenderaan.

Kamera

Kamera bukan kepentingan pada sebuah peranti gaming tetapi Black Shark 5 Pro dilengkapi kamera sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 13MP dan makro 5MP. Kombinasi kamera yang tidak begitu mengagumkan tetapi adalah peningkatan daripada kamera Black Shark 4 Pro. Di hadapan pula kamera 16MP diletakkan dalam lubang kamera. Peranti boleh melakukan rakaman video sehingga 4K 60FPS sementara zum digital yang disokong adalah sehingga 5X sahaja.

Berikut ialah beberapa sampel gambar yang diambil sepanjang tempoh ulasan. Gambar adalah memuaskan dalam keadaan yang terang. Apabila masuk ke kawasan tertutup ia mula menjadi sedikit lembut kerana perlu melakukan dedahan lebih lama tanpa sebarang OIS. Ini ialah isu biasa pada peranti tanpa penstabilan OIS. Situasi menjadi kurang memuaskan apabila gambar diambil pada waktu malam dengan imej yang diambil tidak begitu tajam. Penghasilan semula warna pula adalah baik-baik sahaja dengan ia tidak setepat warna objek sebenar.

Sokongan zum hanya sehingga 5X sahaja dan jelas menggunakan teknik sensor cropping kerana gambar yang diambil tidak tajam. Mod makro pula sekadar sederhana sahaja. Sistem kamera pada Black Shark 5 Pro tidak akan memenangi sebarang anugerah fotografi dalam masa terdekat.


Bateri

Bateri 4650 mAh adalah agak kecil untuk sebuah peranti untuk permua dan akibatnya bateri hanya boleh bertahan sehingga 5 jam dalam mod permainan yang berterusan. Dalam mod penggunaan biasa, waktu SOT mampu mencecah sehingga sekitar 7 jam dengan hayat paling lama sepanjang tempoh ujian ialah sekitar 15 jam tanpa sebarang sesi permua. Ini bukanlah hayat bateri yang mengagumkan makan pengecasan 120W yang disertakan akan menyelamatkan anda kerana waktu mengecas semula peranti dari 0-100% hanya mengambil masa sekitar 20 minit.

Black Shark menyertakan mod menyambung kabel kuasa pada peranti tetapi ia memintas bateri untuk mengelakkan kerosakan pada bateri. Ciri ini amat berguna jika anda ingin memasang kabel kuasa sepanjang masa.

Audio

Dua speaker stereo yang menembak ke sisi adalah amat lantang dan jelas. Mungkin antara sistem speaker terbaik pada sebuah telefon pintar pernah kami lihat. Mendengar muzik dan menonton video sangat-sangat memuaskan kerana kualiti audio yang dihasilkan amat baik. Bass bergetar dan vokalnya terang.

Isu hanyalah lokasi speaker yang asyik tertutup apabila peranti dipegang secara mendapat untuk permainan FPS. Audio yang lantang tadi terus hilang kerana lubang speaker ditutup dengan telapak tangan. Amatlah merugikan. Satu lagi kekurangan Black Shark 5 Pro ialah tiada bicu audio. Apabila menggunakan TWS, audio serang lambat beberapa milisaat membuatkan ia langsung tidak sesuai digunakan untuk sesi permua FPS.


Pesaing

Black Shark 5 ProPoco F4 GTRealme GT2 Pro
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 144Hz, (395 PPI), HDR10+
6.67″, AMOLED, 1080 x 2400, 144Hz, (395 PPI), HDR10+6.7″, LTPO AMOLED, 1440 x 3216, 120Hz, (525 ppi), HDR10+
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
12/16 GB RAM8/12 GB RAM12 GB RAM
256 GB UFS 3.1
128/256 GB UFS 3.1

256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
108MP, f/1.8 Sudut Lebar
13MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
5MP, f/2.4 Makro
Kamera Utama
64MP, f/1.9 Sudut Lebar
8MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
2MP, f/2.4 Makro
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar
50MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
3MP, Mikroskop
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4650 mAh
Berwayar 120W
4700 mAh
Berwayar 120W
5000 mAh
Berwayar 65W
Bermula RM3699Bermula RM2299Harga RM2999

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Black Shark 5 Pro
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 120W
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM
  • 1x Pelekat logo Black Shark

Kesimpulan

Ini ialah peranti untuk permua yang terbaik yang pernah kami gunakan setakat ini. Prestasi yang menakjubkan, skrin yang pantas, sistem penyejuk yang berfungsi dengan baik dan ciri tambahan yang menjadikannya benar-benar sebuah peranti permua kelas mercu. Jika anda menjalankan permua pada tetapan paling tinggi dengan butang bahu yang akan menjadikan sesi permainan lebih menyeronokkan ini ialah peranti yang anda cari sebelum ini.

Pada waktu yang sama kemampuan kameranya lebih baik dari biasa. Peranti untuk permua biasanya menganaktirikan sistem kamera tetapi Black Shark 5 Pro masih mampu mengambil gambar yang sedap mata memandang.

Kekurangan ialah hayat bateri yang pendek kerana kapasitinya yang kecil. Nasib baik pengecas 120W yang diberikan boleh mengecas semula bateri dalam masa 20 minit. Kedudukan speaker yang kurang ergonomik dan tiada bicu audio 3.5mm juga sedikit mengecewakan.

Pada harga bermula dari RM3699 kami merasakan Black Shark 5 Pro ialah pilihan bijak bagi mereka yang mencari peranti untuk permua yang serba lengkap. Ini ialah peranti untuk permua pilihan pemangsa kelas apeks seperti seekor jerung putih gergasi. Jika anda ingin mempunyai kelebihan dalam permainan atas talian? Inilah peranti yang kami sarankan.

Pro

  • Rekaan premium yang menarik.
  • Prestasi terbaik untuk cip Snapdragon 8 Gen 1.
  • JOYUI 3 mempunyai pelbagai ciri tambahan untuk permua yang menarik.
  • Butang bahu amat berguna dalam permua dan pelbagai aplikasi lain.
  • Sistem pengecasan yang amat pantas.
  • Audio yang mantap.
  • Sistem penyejukan yang amat baik mengawal haba.

Kontra

  • Tiada bicu audio.
  • Speaker mudah terhalang ketika sesi permua.
  • Ketahanan bateri yang kurang memuaskan.
  • Kamera tidak begitu baik.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd