Carian
Ulasan Xiaomi Buds 3T Pro – Inikah TWS Dengan Audio Spatial Terbaik Untuk Android?
June 14, 2022 Fahim Zahar

Bagi yang tidak tahu, Xiaomi sebenarnya sudah lama aktif dalam bidang audio. Malah di zaman saya belajar, Xiaomi terkenal dengan set fon telinga berwayar Mi Piston mereka. Kini Xiaomi telah fokus ke aksesori audio nirwayar seperti Mi Buds atau AirDots untuk Redmi.

Produk premium terkini mereka adalah Xiaomi Buds 3T Pro yang dilihat cuba bersaing dengan AirPods, Enco X2 dan lain-lain TWS China dalam kelas sama. Selepas berbulan produk ini tiba ke makmal Amanz, dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dan pendapat sama ada adakah ia antara yang terbaik?


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi Buds 3T Pro
JenisFon dalam telinga
Pemacu AudioPemacu audio DLC dwi-magnet
Ditala oleh Luca Bignardi
LHDC 4.0
Mikrofon3x mikrofon bertaraf studio
Untuk ANC
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
Bateri6 jam berterusan
24 jam dengan pengecas
TambatanBluetooth
MIUI Fast Pair
PengecasanUSB-C
Qi
Sokongan aplikasiTiada aplikasi
Kawalan khusus untuk MIUI
KawalanPicit dan tekan
Kemampuan kalis airIP55
Harga JualanRM549

Spesifikasi yang ditawarkan oleh Xiaomi untuk Xiaomi Buds 3T Pro ini tidak dinafikan nampak baik di atas kertas. Ia menyokong LHDC 4.0, mempunyai enam mikrofon untuk ciri pembatalan hingar aktif, ada sokongan pengecasan nirwayar Qi, boleh menggunakan picit dan tekan untuk kawalan, dan juga tambatan pantas.

Tetapi yang paling menarik perhatian saya sendiri adalah ciri audio spatial, yang selama ini popular pada AirPods. Saiz pemacu audio yang digunakan tidak begitu jelas, selain ia adalah jenis dinamik. Ia juga adalah pemacu dengan DLC dwi-magnet dan ditala oleh Luca Bignardi.

Xiaomi Buds 3T Pro ini turut direka dengan rekaan yang ringkas dan minima. Kemasan pada pod pengecas adalah jenis kusam yang lembut dengan warna kehitaman yang boleh memantul cahaya. Ia ada lampu LED di depan, butang dan port USB-C di bawah. Walaupun di tangan rasa selesa dan sedap, sebaik sahaja buka penutup – ia terus hilang nilai premiumnya. Ini kerana binaan pada penutup tidak memuaskan dan rasa longgar seakan TWS OEM murahan yang ada di pasaran.

Tetapi nasib baik butang untuk tambatan responsif, kemudian setiap fon telinga mudah dikeluarkan tanpa sebarang masalah. Rekaan fon telinga jika dilihat dengan teliti, tidak dinafikan AirPods Pro adalah inspirasi. Putik telinga silikon juga diperbuat dari bahan yang lembut dan cukup selesa dalam telinga.

Untuk TWS pada harga sekitar RM500 ini, saya agak terkejut masih mampu menyertakan ciri pengecasan nirwayar yang berfungsi dengan baik sama ada pada pengecas nirwayar atau terus pada belakang peranti.

Kualiti Audio

Bass/Lows

Saya tidak mengharapkan sesuatu yang hebat daripada TWS ini. Tetapi saya hanya harap ia mempunyai kualiti yang setanding dengan pesaing atau lebih hebat pada harga mampu milik. Bass pada Xiaomi Buds 3T Pro ini tidak mempunyai dentuman yang memuaskan langsung. Ia seakan terus mati atau terpotong di saat ada dentuman yang sepatutnya baik berlaku ketika muzik dimainkan. Mid bass pada TWS ini hanya cukup-cukup makan untuk muzik pop seperti daripada Taylor Swift atau Grace VanderWaal.

Kemudian boleh dikatakan ia seakan tidak mempunyai sebarang sub-bass. Saya beranggapan kerana rekaan fon telinga dan saiz putik telinga yang sedikit longgar dan tidak begitu kedap. Disebabkan itu, penggemar bass mungkin tidak akan suka dengan TWS ini.

Vokal/Mids

Untuk vokal pula, ia cukup jelas dan majoriti muzik yang saya uji semuanya memuaskan. Ia mempunyai suara yang semula jadi, lembut dan enak untuk dengar. Lebih-lebih lagi pada penyanyi wanita yang membuatkan pengalaman pendengaran lebih selesa. Sayang sekali untuk suara penyanyi lelaki, ia terlampau lembut dan nipis. Dengan kata lain, ia tidak mempunyai nilai kejantanan yang sepatutnya ada.

Walaupun begitu, dengan profil audio seperti ini – ia amat sesuai digunakan untuk mendengar podsiar atau buku audio. Suara yang amat jelas sehingga sukar untuk terlepas setiap perkataan yang disebut oleh hos.

Nada Tinggi/Highs

Dalam banyak-banyak muzik pop yang saya gemari, ada banyak nada tinggi dinyanyikan oleh penyanyi atau ada instrumen dimainkan. Sepanjang berbulan penggunaan, bunyi nada tinggi pada Xiaomi Buds 3T Pro ini tidak cukup tajam untuk memuaskan hati saya. Ia jelas boleh dengar, tetapi tidak menyerlah.

Pementasan Audio & Pengasingan

Setiap instrumen dan vokal penyanyi masih boleh didengari, tetapi ia sedikit sempit dan tidak begitu meluas. Ia juga tidak memberi satu pengalaman pendengaran yang imersif. TWS ini dilihat lebih kepada ingin memberikan pengguna pengalaman penggunaan yang lebih menenangkan dengan penggunaan yang ringan. Ini bukannya perkara negatif, tetapi dengan perkara ini berlaku penggunaan masa panjang tidak akan memenatkan. Ia juga agak manja pada aras suara, kerana lebih perlahan berbanding pesaing.

ANC, Mod Tembus Bunyi Dan Lain-Lain

Dengan tiga mikrofon terbina pada setiap fon telinga, ia boleh mengaktifkan ciri pembatalan hingar aktif. Ia sebenarnya berfungsi dengan baik dan boleh membatalkan bunyi bising di sekeliling seperti suara orang bercakap lebih kedap, bunyi angin menjadi halus dan bunyi peralatan elektronik lain tidak mengganggu. Tetapi disebabkan saiz dan rekaan pada fon telinga dan putik telinga, ia tidak cukup kedap di dalam telinga membuatkan ciri ANC seakan tidak berfungsi kecuali jika setiap fon telinga ditekan lebih ke dalam telinga.

Mod tembus bunyi berfungsi dengan baik, tetapi mempunyai kesan bunyi frekuensi yang tidak menyenangkan. Kualiti mikrofon bukan yang terhebat, tetapi ia jelas dalam panggilan telefon. Mod sela masa rendah pula, jika diaktifkan ia tidak boleh digunakan pada dua peranti serentak. Tetapi apabila diaktifkan kualiti audio sedikit lebih baik dan tiada sela masa di antara video dan audio yang jelas.

Audio Spatial

Xiaomi Buds 3T Pro turut mempunyai ciri audio spatial. Dalam ujian saya, ia masih lemah berbanding AirPods Pro. Tetapi untuk kemampuan ciri ini pada peranti Android saya agak teruja dalam penggunaan awal. Cuma selepas beberapa percubaan, ciri ini dilihat tidak serasi dengan pendengaran muzik – tetapi elok untuk pendengaran podsiar atau yang memfokuskan vokal.

Aplikasi

Agak mengecewakan yang Xiaomi tidak menyediakan aplikasi untuk menggunakan TWS ini pada peranti lain. Ini membuatkan Xiaomi Buds 3T Pro terhad digunakan pada peranti yang menjalankan MIUI sahaja. Semua tetapan terbina dalam sistem, termasuk untuk kawalan ANC, kemaskini perisian, hidup atau matikan LHDC dan banyak lagi. Dengan peranti Xiaomi, ia boleh dikawal pada talam notifikasi dan penggunaan juga mudah.

Tambatan pantas juga hanya boleh digunakan pada peranti Xiaomi, peranti lain perlu menggunakan tambatan biasa melalui tetapan Bluetooth. Sekurang-kurangnya, pesaing seperti Realme dan Oppo masih menyertakan Google Fast Pair disamping sistem tambatan sendiri.

Jika ingin menggunakan TWS pada peranti lain, pastikan tetapan kawalan picit dan tekan telah ditetapkan pada peranti Xiaomi. Atau jika tidak, terpaksa cari aplikasi pihak ketiga yang dilihat sedikit boleh membantu seperti Mi Buds M8.

Bateri

Sepanjang penggunaan beberapa bulan, saya telah berubah-ubah menggunakan TWS ini dengan Xiaomi 12, 12 Pro dan Poco F4 GT. Ia tiada masalah bateri yang serius untuk saya secara peribadi, kerana selepas dua jam penggunaan saya akan terus simpan setiap fon telinga dalam pod pengecasan. Saya tidak pernah menggunakan lebih daripada itu, kerana mudah berpeluh dan telinga tidak rasa selesa.

Setakat kiraan manual yang saya lakukan, penggunaan berterusan saya hanya sekitar 5 jam berbanding dakwaan Xiaomi 6 jam. Sementara pod pengecasan yang sepatutnya memberi ketahanan 24 jam saya boleh katakan itu adalah benar. Pengecasan juga cukup pantas dan turut boleh dicas pada belakang peranti yang menyokong.

Kesimpulan

Xiaomi Buds 3T Pro adalah set fon telinga nirwayar sebenar yang baik. Ia dipadatkan dengan banyak ciri dan fungsi menarik pada harga RM549. Kualiti binaan yang tidak begitu memuaskan, tetapi kualiti audio agak baik dan menenangkan. Penggemar muzik pop, yang kerap dengan podsiar akan sukakan audio yang TWS ini hasilkan. Walaupun penggunaan sedikit terhad dengan peranti Xiaomi sahaja, TWS ini sesuai untuk melengkapkan ekosistem MIUI.

Tidak lupa juga yang TWS ini turut mempunyai ciri audio spatial terbina yang boleh memberikan pengalaman mendengar podsiar seakan secara langsung dengan boleh mengesan pergerakan kepala. Pada harga RM549, ia baik-baik sahaja jika anda ingin manfaatkan ekosistem MIUI. Tetapi jika tidak, masih banyak pilihan lagi di pasaran sekarang.


Pro

  • Rekaan ringkas yang cantik dan selesa
  • Mempunyai ciri audio spatial terbina
  • Audio terbaik untuk muzik pop dan mendengar podsiar
  • Tambatan ke peranti yang mudah
  • Harga jualan yang kompetitif

Kontra

  • ANC yang tidak begitu memuaskan
  • Banyak ciri dan fungsi terhad untuk peranti MIUI sahaja
  • Kualiti binaan yang rasa murah
  • Kawalan yang sedikit mengelirukan
Komen