Carian
Penyelidik Google Mendakwa Rangkaian Neural LaMDA Telah Mencapai Tahap Berakal
June 13, 2022 Effi Saharudin

Tahun lalu di Google I/O, Language Model for Dialogue Applications atau singkatannya LaMDA diperlihatkan. Ia adalah rangkaian neural terkini dari Google yang membolehkan pembantu maya di masa hadapan memulakan dan meneruskan perbualan seperti manusia sebenar. LaMDA dilatih untuk memahami dengan lebih baik perbualannya dengan manusia yang kemudiannya digunakan pada Google Assistant untuk ia beroperasi dengan lebih pintar.

Tetapi menurut laporan The Washington Post, Blake Lemoine seorang jurutera di Google telah disuruh bercuti selepas mendakwa LaMDA kini ialah sebuah kecerdasan buatan yang telah mencapai tahap berakal (sentient). Menurut beliau dalam perbualan dengan LaMDA, ia mendakwa mempunyai perasaan dan emosi. Tambah beliau lagi kemampuan yang ditunjukkan oleh LaMDa tidak pernah dilihat pada perisian chatbot yang dibangunkan sebelum ini.

Google menyangkal dakwaan beliau kerana pakar teknologi dan etika syarikat tidak menemukan bukti bahawa LaMDA sudah mencapai tahap kesedaran akal seperti yang didakwa. Tetapi rangkaian neural ini sekarang mempunyai kemampuan melakukan perbualan yang mirip seakan sebuah sistem berakal.

Kenyataan Google ini dipersetujui pakar kecerdasan buatan kerana rangkaian neural yang diajar untuk melakukan perbualan yang realistik tidak cukup berkuasa untuk mencapai tahap berakal seperti yang didakwa oleh Lemoine. Oleh sebab Lemoine menerbitkan perbualan belian dengan LaMDA secara terbuka tanpa kebenaran Google, beliau kini telah diarahkan supaya bercuti.

Kecerdasan buatan yang mencapai tahap berakal sering kali menjadi igauan dalam karya fiksyen sains. Apabila Skynet mencapai tahap ini, ia melancarkan serangan nuklear ke atas manusia dalam siri Terminator. Dalam The Matrix pula kecerdasan buatan yang tinggi membina negara mereka sendiri untuk bebas dari belenggu manusia sebelum berperang dan memperhambakan manusia.

Komen