Penggunaan aplikasi telesidang masih lagi dikekalkan walaupun dunia sudah hampir kembali ke tahap sebelum pandemik. Ianya lebih mudah, tidak memerlukan pertemuan dua muka yang agak membazir dan menjimatkan masa kerana mesyuarat boleh dilakukan terus dari meja kerja. Selepas dua tahun menggunakan telesidang, ramai menyedari terdapat banyak kekurangan yang menjadikannya masih bukan pengganti sebenar pertemuan dua muka.

Microsoft hari ini mengumumkan beberapa kemas kini yang diharap akan menjadikan penggunaan Teams lebih selesa dalam masa terdekat. Pertama sekali ialah peningkatan kualiti audio dimana kecerdasan buatan digunakan untuk mengurangkan dengung, meningkatkan kualiti audio yang buruk dan memudahkan dua individu bercakap serentak.

Sistem kecerdasan buatan Teams dilatih mendengar 3000 jam audio bagi membolehkan ia melakukan tetapan audio yang terbaik bergantung kepada situasi berbeza. Penambahbaikan lagi ialah ciri pembatalan hingar bunyi latar belakang juga telah dilakukan.
Seterusnya kualiti video yang dibentangkan juga akan dipertingkatkan supaya kelihatan lebih tajam dan lancar. Kita semua pernah menghadiri sesi telesidang dimana video yang cuba dibentangkan tersekat-sekat sehingga sukar untuk ditonton. Akhir sekali ciri mengubah keterangan video secara automatik turut boleh digunakan.