Cari @ Amanz

Xiaomi China Mula Menjual Kabel HDMI 2.1 – Menyokong 8K, 120Hz, Dolby Atmos

Link Copied!

Penggunaan HDMI 2.1 masih belum meluas lagi. Ia adalah sambungan HDMI generasi baharu yang menyokong paparan dengan resolusi 8K serta kadar segar semula tinggi. Kebanyakan paparan yang menggunakan teknologi ini masih lagi televisyen dan ia secara perlahan mula digunakan pada monitor juga.

Xiaomi di China baru-baru ini telah melancarkan kabel HDMI 2.1 mereka tersendiri, Xiaomi 8K HDMI. Kabel ini menyokong paparan 4K atau 8K dengan sokongan kadar segar semula adaptif 120Hz atau 60Hz. Ia juga menyokong pemindahan data dengan lebar jalur 480Gbps, pengimejan 3D stereo, serta warna sehingga 12-bit.

Untuk audio, Xiaomi turut menjamin tiada masalah untuk menyampaikan Dolby Atmos 7.1 atau 5.1. Kabel ini turut diiktiraf oleh HDMI Association untuk digunakan bersama HDMI 1.0, HDMI 2.0 dan sudah semestinya kabel ini boleh digunakan dengan mana-mana produk paparan dengan sokongan yang diperlukan.

Buat masa ini Xiaomi 8K HDMI dijual di China sahaja pada harga RMB99 iaitu sekitar RM65. Dengan penjualan monitor dan televisyen juga sudah dilakukan di peringkat global, tidak terkejut jika kabel ini turut akan dijual nanti.


Komen ()