Kejatuhan Nilai Kriptowang Memaksa Syarikat-Syarikat DeFi Untuk Membuang Pekerja

Diterbitkan pada Jun 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kejatuhan nilai kriptowang yang sangat mendadak baru-baru ini telah memperlihatkan kesan yang mendadak dalam masa yang sangat singkat sekali. Dengan nilai 1 BTC khususnya yang kini berada pada paras bawah RM100 ribu, sejumlah syarikat-syarikat DeFi (Decentralized Finance) telah mula membuang pekerja mereka, ataupun menarik balik tawaran kerja yang diberikan.

Crypto.com, salah satu daripada syarikat perdagangan kriptowang yang terbesar dilihat akan membuang sekitar 260 orang pekerja untuk memastikan kelangsungan syarikat tersebut dalam menempuh waktu sukar untuk industri ini.

BlockFi, sebuah lagi platform perdagangan kriptowang juga mengesahkan bahawa mereka akan membuang sekitar 20 peratus jumlah pekerja mereka, seramai 200 orang kerana keadaan industri sekarang, dan juga untuk memastikan syarikat tersebut boleh menjana keuntungan pada tahun ini.

Coinbase, sebuah lagi platform kriptowang dilaporkan telah menarik kembali tawaran kerja kepada 300 individu yang telah diterima dan sepatutnya memasuki syarikat tersebut pada bulan hadapan. Laporan Vice mengatakan bahawa Coinbase sebelum ini telah menjanjikan bahawa pekerjaan mereka selamat akhirnya tidak mengotakan janji mereka dan menarik balik tawaran tersebut.

Selain daripada isu pekerja ini, nilai kriptowang yang memperlihatkan kejatuhan nilai merudum paling teruk dalam dua tahun ini menyebabkan beberapa platform dagangan kriptowang seperti Binance juga untuk menutup pertukaran mereka kerana jumlah transaksi yang terlalu tinggi.

komen


© Amanz / 2022 Kami