Cari @ Amanz

Google Pixel 6A adalah peranti kelas pertengahan Google seterusnya yang ramai nanti-nantikan. Ia adalah peranti Pixel siri-A pertama dengan rekaan baharu, iaitu inspirasi daripada Pixel 6 dengan bar kamera. Ia juga adalah peranti kelas pertengahan Google dengan cip setaraf peranti mercu, Google Tensor.

Peranti ini didedahkan ketika acara Google I/O 2022, bulan Mei lepas dan pra-tempahan peranti ini akan bermula pada 21 Julai akan datang di Amerika Syarikat dengan harga jualanĀ $449, iaitu sekitar RM1966. Tetapi seorang YouTuber Malaysia telah mendapat akses terhadap peranti ini dan melakukan video nyahkotak serta memberikan pendapat awal beliau mengenainya.

Dalam video ini, Fazli Halim mendakwa yang kualiti kamera sedikit mengecewakan. Tetapi isu besar yang ada pada Pixel 6 sebelum ini, iaitu pengimbas cap jari yang perlahan – dilihat sudah menjadi lebih baik. Beliau turut menyatakan yang pengalaman penggunaan dilihat lebih baik berbanding Pixel 6, tanpa ada masalah lengah masa. Banyak ciri Pixel 6 juga boleh didapatkan dalam peranti ini, termasuk Real Tone.

Fazli tidak menyatakan di mana beliau mendapatkan peranti ini. Tetapi ia agak awal, memandangkan di Amerika pun pra-tempahan bermula Julai dengan anggaran penghantaran bermula sekitar Ogos nanti. Harga yang beliau beli adalah sekitar RM2200, yang mana tidak jauh beza dengan harga asal $449, iaitu sekitar RM1966.

Pixel 6a hadir dengan skrin 6.1-inci OLED, pengimbas cap jari bawah skrin, memori 6GB RAM dan storan dalaman UFS 3.1 128GB. Ia juga dijana dengan cip Google Tensor sama dengan Pixel 6. Di belakang pula ia menggunakan kamera 12.2+12 Megapixel dan kamera swafoto 8 Megapixel. Bateri pula adalah 4306mAh dengan pengecasan 18W.

Peranti dalam video dilihat menjalankan Android 12 terkini, namun tidak pasti versi sekuriti yang mana.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd