Carian
KKOMM Mengeluarkan Kenyataan Mengenai Data Peribadi Rakyat Malaysia Yang Boleh Diakses Secara Terbuka
June 14, 2022 Nazrin

Beberapa hari lalu, Malaysia telah dikejutkan sekali lagi dengan berita bahawa terdapat laman web yang menyenaraikan sejumlah butiran rakyat Malaysia secara terbuka dan boleh diakses oleh orang ramai.

Melalui laman web tersebut, berbekalkan hanya nama dan mungkin tarikh ataupun tahun seseorang individu tersebut dilahirkan, orang ramai boleh mengetahui beberapa butiran tambahan seperti samada individu tersebut bekerja dengan pihak polis ataupun askar.

Dengan pembayaran tambahan, sesiapa sahaja juga boleh mendapatkan maklumat tambahan seperti butiran MySejahtera pengguna tersebut.

Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bersama-sama dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah mengenalpasti latar belakang laman web tersebut dan mengeluarkan arahan sekatan akses terhadapnya pada hari yang sama kepada syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan internet.

Badan-badan tersebut, bersama-sama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia mengesahkan perkara tersebut dan telah berkomunikasi untuk menutup laman web tersebut juga.

Mereka juga akan sentiasa memantau dan mengawal-selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersil agar menepati prinsip-prinsip dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Komen