Peranti Dengan Jumlah Kamera Yang Banyak Adalah Gimik Yang Merugikan Pengguna

Diterbitkan pada Jun 16, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sama ada anda semua perasan atau tidak, sebilangan besar pengeluar begitu kerap menggunakan sensor makro dan kedalaman pada peranti keluaran masing-masing. Tidak dinafikan sesetengah peranti pintar sangat bergantung dengan lensa jenis ini bagi mengurangkan nilai kos dan keperluan pemasaran.

Tetapi, tolak tepi soal berjimat. Paling penting sekarang adakah ia satu keperluan atau sekadar gimik oleh pengeluar pada hari ini? Cuba perhatikan telefon pintar anda sendiri, adakah ia turut dimuatkan dengan sensor-sensor jenis ini? Jika ya, adakah anda menggunakannya dengan sepenuhnya? Inilah topik yang bakal dibahaskan dan penulisan artikel ini hanyalah pandangan peribadi kami.

Pada kami, penggunaan sensor makro dan kedalaman pada sesebuah peranti pintar boleh dianggap sebagai gimik. Dalam erti kata lain ia menjurus kepada tujuan melariskan jualan dan nilai kosmetik semata-mata. Misalnya, ada tiga atau empat kamera yang disertakan tetapi yang benar-benar berguna hanyalah satu? Di mana rasionalnya?

Agak melucukan juga setiap kali apabila sesebuah peranti pintar yang dibuat oleh pengeluar dibekalkan sensor jenis ini. Tidakkah mereka sedar bahawa tidak ramai di antara kita yang menggunakan sensor makro. Cukuplah, memasuki 2022 ini kita mahukan penawaran masing-masing secara total tanpa perlu gimik.

Sensor makro 2MP misalnya. Terus-terang awalnya ia kedengaran agak menarik. Tambahan pula, ia diiklankan mampu menangkap objek kecil dengan terperinci pada jarak fokus yang sangat dekat. Ada di antaranya yang berkebolehan jarak mencapai 4cm. Namun, hasilnya memang serba tidak kena. Malahan sehingga ke hari ini, kami sendiri masih belum jumpa hasil gambar yang benar-benar memuaskan sewaktu menggunakan sensor jenis ini.

Sebahagian besar hasil gambar bukan sahaja tidak menarik, malahan hakikatnya cukup merugikan dan lebih baik tidak disertakan langsung. Dengan saiz lensa yang kecil, masalah hingar boleh dilihat dengan begitu jelas. Seterusnya, objek yang dirakam juga tidak tajam dengan kesan bokeh yang tidak konsisten. Ada sesetengah keadaan hasil gambar kelihatan gelap dengan kerap.

Penggunaan sensor jenis ini sejujur nya perlu diberhentikan kerana ia tidak berguna dan sekadar membuang masa. Kami juga yakin sensor berkenaan juga sekadar hiasan semata-mata.

Bagaimana pula dengan sensor makro 5MP pula? Ia sering digunakan pada peranti Samsung dengan kemampuan autofokus yang boleh berfungsi di antara 3 – 5cm. Kami masih rasakan sekadar gimik. Sebahagian besar hasilnya adalah sama seperti yang berlaku pada peranti dengan lensa makro bersaiz kecil. Gambar tidak tajam dan tidak cukup terang sekaligus ia mengingatkan kami kepada peranti dari awal 2010.

Sedikit berbeza dengan sensor tele makro 5MP yang diperkenalkan oleh Xiaomi. Kebolehannya lebih baik berbanding sensor makro 2MP meski tidak sempurna. Bagaimanapun, kemampuan tangkapan makro yang benar-benar hebat sepenuhnya pada hemat kami adalah menggunakan peranti spesifikasi mercu.

Seterusnya, sensor kedalaman. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa sensor kedalaman di kebanyakan telefon pintar keluaran China hari ini adalah gimik semata-mata. Gimik yang bertujuan mengaburkan mata pengguna. Anda turut boleh mengujinya sendiri dengan menutup sensor berkenaan dengan jari sewaktu mengambil gambar potret. Anda akan perasan seakan tiada apa yang berlaku dan jelas menunjukkan gambar yang diambil dengan sensor kedalaman adalah sama dengan sensor utama. Pada dasarnya, ia juga langsung tidak mampu menyampaikan hasil yang baik dengan menyeluruh.

Adalah lebih baik sekiranya para pengeluar menggantikannya dengan penggunaan sensor ultra-lebar. Terus-terang, ia dilihat mampu menjadi penyelesaian bagi peranti secara menyeluruh lebih menarik. Kami turut menyifatkan sensor jenis ini lebih berguna, selain mewujudkan penyelesaian yang saling menguntungkan, khususnya manfaat untuk rakaman yang luas dalam ruangan kecil.

Pada masa sama, anda turut boleh merakamkan pelbagai gambar lebih dramatis dengan sensor jenis ultra-lebar ini. Sebagai pilihan lain, sensor dengan kebolehan zum seperti periskop atau telefoto turut boleh menjadi tambahan yang berguna. Peranti dengan sensor sebegini membolehkan anda merakam objek yang jauh dengan lebih mudah. Atau jikalau tidak pun, lakukan penambahbaikan menarik pada sokongan kamera swafoto.

Baiklah, mungkin isunya di sini bukan hanya mengenai penyelesaian tetapi lebih kepada kebolehan. Apa yang kami cuba sampaikan di sini, jangan mudah terpedaya dengan kuantiti kamera pada peranti pintar hari ini. Banyak tidak bermakna kesemuanya berfungsi dengan baik. Belilah peranti yang sesuai dengan keperluan tanpa tertipu dengan gimik para pengeluar semata-mata. Sekali lagi diingatkan, penulisan artikel ini adalah berasaskan pendapat peribadi semata-mata dan tiada sebarang maksud tersirat.

komen


© Amanz / 2022 Kami