Carian
Ulasan Keychron Q1 – Papan Kekunci Tersuai Terbaik Untuk Yang Baru Mula
June 20, 2022 Fahim Zahar

Keychron adalah jenama papan kekunci yang cukup terkenal. Jenama ini mula mencipta nama, apabila ramai YouTuber memaparkan papan kekunci Keychron dalam video-video mereka. Antara yang popular adalah dalam siri-K mereka, di mana ia mempunyai kemampuan kustomasi seperti boleh memilih jenis suis, bahan binaan, ada RGB atau tidak dan turut menyokong hot-swappable.

Harga jualan juga tidaklah mahal mana dan berada dalam kategori mampu milik dan mudah untuk dibeli. Dengan komuniti dan trend papan kekunci tersuai semakin berkembang, Keychron mula memperkenalkan siri-Q mereka pula. Ia adalah papan kekunci yang boleh kustomasi sepenuhnya dan tidak terhad seperti pada siri-K. Model pertama adalah Keychron Q1 dan selepas berbulan menggunakannya ini adalah ulasan saya.

Spesifikasi Dan Rekaan

Keychron Q1 adalah papan kekunci bersaiz 75%, dengan permukaan suis berada pada kedudukan 5.2 darjah, diperbuat daripada aluminium dengan berat sekitar 1.6kg, mempunyai kaki 2.4mm, dan dimuatkan dengan papan litar tersendiri. Keychron menawarkan pilihan suis Gateron G Phantom, yang mana dalam ulasan ini adalah Gateron Phantom Brown iaitu suis jenis taktil.

Pada papan litar papan kekunci ini lampu LED RGB adalah di bahagian bawah, ruangan masuk suis pula menyokong kedua-dua 5-pin dan 3-pin, penstabilan pula adalah jenis Gateron skru ke dalam, sambungan adalah USB-C ke USB-C yang mana kabel adalah jenis bersirat/bergelung dan mempunyai sambungan aviator.

Kekunci yang diberikan pula adalah jenis double-shot ABS yang cahaya tidak boleh tembus ke huruf dan digit-digit. Papan kekunci ini juga boleh dibuka sepenuhnya untuk mendedahkan papan litar dengan sokongan gasket-lekap (gasket mounted), mempunyai span serap bunyi dan beberapa span lain untuk mengoptimasikan lagi pengalaman penggunaan.

Papan kekunci yang saya gunakan ini adalah berwarna Navy Blue, yang mana pada saya ia mempunyai warna yang cantik dengan kemasan sedikit berkilat.

Apa Yang Boleh Diubah?

Seperti yang saya katakan tadi, Keychron Q1 adalah papan kekunci tersuai sepenuhnya. Ia oleh dibuka, span boleh tukar gantikan dengan yang lain, gasket juga boleh ditambah, penstabil juga boleh tukar asalkan ia adalah jenis Gateron skru ke dalam dan yang paling penting suis. Suis yang disediakan juga sudah ditambah pelincir terus jadi tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan. Melainkan jika pengguna membeli suis jenama lain.

Perubahan yang saya lakukan pada papan kekunci ini adalah yang asas sahaja. Saya hanya tambah gasket, kerana saya ingin cuba kualiti keseluruhan papan kekunci yang asal. Malah kekunci juga jika ingin diubah turut boleh dilakukan jika ingin mencari jenis yang boleh memaparkan lampu RGB dengan lebih baik.

Cara ubahsuai juga mudah, tetapi pada saya sedikit leceh. Pertama perlu buka kekunci, kemudian buka skru untuk kerangka, seterusnya bergantung kepada apa yang ingin diubah – jika ingin ganti span kedap bunyi suis perlu ditanggalkan juga. Pada awal penggunaan untuk pengguna baharu atau pertama kali, ia mungkin leceh. Tetapi lama kelamaan ia akan menjadi satu perkara biasa.

Pengalaman Penggunaan

Saya hanya mula bermain dengan papan kekunci tersuai ini pada tahun 2020. Mula tergerak hati untuk mencari papan kekunci terbaik untuk kegunaan harian yang sesuai untuk menaip artikel panjang, seperti ulasan untuk papan kekunci ini. Ketika itu adalah PKP, bosan-bosan di rumah saya mula menghabiskan masa dengan menambah pelincir pada suis, mencari kekunci cantik, melakukan pelbagai modifikasi pada papan kekunci yang saya miliki. Saya mula dengan Keychron K6 dan kemudian MelGeek Mojo60 Ember.

Sepanjang enam bulan penggunaan Keychron Q1 ini, saya berasa puas hati dan seronok menggunakannya. Malas saya juga selesa dengan papan kekunci ini untuk melakukan kerja harian. Pertama sekali adalah, papan kekunci ini cukup berat di mana ia sukar untuk bergerak-gerak dan tertolak sepanjang penggunaan. Ia akan berada di meja saya dengan posisi sama selama berjam penggunaan tanpa sebarang masalah. Bahagian atas papan kekunci yang tinggi 5.2 darjah dengan bahagian bawah yang tidak begitu tinggi memudahkan saya menaip artikel panjang dengan lancar.

Suis Gateron Phantom Brown adalah jenis taktil, yang mana antara kedua yang saya gemari. Contoh pada Keychron K6 saya sebelum ini saya menggunakan C³ Equalz x TKC Kiwi, yang mana antara terbaik pernah saya gunakan untuk jenis taktil. Suis yang paling saya suka adalah jenis linear yang mana sebelum ini saya gunakan seperti Gateron Phantom Red, ia bolehlah. Tetapi kegemaran saya adalah suis FFFF daripada FF melalui Matrix Lab yang saya gunakan pada MelGeek Mojo60 Ember.

Gateron Phantom Brown ini memberikan satu respon seakan kesan haptik setiap kali ditekan. Ia tidak begitu kuat, tetapi memberikan satu pengalaman menaip yang lebih menarik kerana apabila ditekan akan memberikan satu perasaan sedikit memuaskan. Ia tidak sekuat pada suis clicky, ia baik-baik sahaja. Cuma jenis suis Phantom Brown ini tidak memberikan saya satu kepuasan maksima.

Disebabkan saya tidak melakukan banyak modifikasi padanya, papan kekunci ini mempunyai satu bunyi bising yang tidak begitu enak. Papan kekunci mekanikal seperti ini sepatutnya mempunyai bunyi yang baik, tetapi ia seakan satu plastik ditekan pada permukaan besi. Ia mempunyai bunyi nyaring yang lembut yang mana tidak begitu menjengkelkan, tetapi jika dengan dengan teliti saya dapat rasakan ini bukanlah bunyi yang saya mahukan.

Penstabilan pada papan kekunci ini untuk kekunci space bar, enter, backspace dan shift ini pada mula penggunaan ia seakan baik-baik sahaja. Tetapi selepas lama-kelamaan ia terasa seakan longgar dan tidak memberikan satu pengalaman yang baik. Lebih-lebih lagi pada space bar yang mudah bergoyang dan kadangkala tersangkut pada tali jam ia terus tertanggal.

Kekunci double-shot ABS yang diberikan juga pada hemat saya mudah kotor. Cetakan aksara padanya adalah baik sahaja, tetapi ia tidak konsisten dan ada yang tebal dan ada pula yang nipis. Tetapi ini adalah perkara kecil yang tidak mengganggu saya pun.

Apa yang menjengkelkan adalah, beberapa suis pada Keychron Q1 ini mudah tersekat dan membuatkan beberapa kali saya menaip akan ada kekunci rawak terus tertekan dengan sendiri. Ia jarang berlaku, tetapi bila terjadi ia membuatkan saya geram dan tidak berpuas hati dengan papan kekunci ini.

Perisian

Apa yang menarik dengan Keychron Q1 adalah papan litar yang digunakan menyokong perisian QMK. Melaluinya, pengguna boleh gunakan sahaja VIA iaitu kod-kod QMK dalam bentuk antaramuka yang mudah faham dan lebih mudah untuk digunakan orang ramai.

Dengan VIA ini, ia membolehkan pengguna menetapkan fungsi setiap kekunci seperti input, ubah dan tetapkan makro, menukar mod pencahayaan dan juga menguji setiap suis yang dipasang untuk melihat sama ada input dapat dikesan ataupun tidak.

Berbanding sebelum ini, penggunaan perisian yang bersifat universal ini adalah satu pujian yang boleh diberikan kepada Keychron. Ia memberi pengguna lebih kebebasan dan tidak terperangkap dengan perisian tersendiri sahaja.

Kesimpulan

Di Malaysia, Keychron Q1 diedarkan secara rasmi oleh Keybot. Ia dijual pada harga RM685 untuk set penuh dengan suis dan kekunci. Sementara pada harga RM585 adalah untuk set asas iaitu kerangka dan papan litar sahaja. Apa yang Keybot jual semuanya adalah stok di dalam Malaysia dan mempunyai jaminan dengan mereka. Berbanding jika beli secara terus pada Keychron, harga adalah dalam mata wang USD, penghantaran adalah dari luar negara dan jaminan juga sedikit leceh.

Apa-apa pun, selepas beberapa papan kekunci tersuai yang saya gunakan – saya boleh katakan Keychron Q1 adalah antara yang terbaik untuk apa yang mereka tawarkan. Dengan satu harga, semua perkara asas untuk mula “bermain” dengan papan kekunci tersuai disediakan. Papan litar, kerangka, suis, span-span, gasket, segala peralatan mencabut suis dan kekunci dan kabel juga disediakan.

Keychron Q1 juga mudah dibeli dan ia dihasilkan terus dalam kuantiti banyak. Ada jenama kecil lain, walaupun popular dalam komuniti banyak yang perlu di pra-tempah. Ada jenama yang makan berbulan-bulan, malah ada juga yang sampai setahun untuk papan kekunci sampai ke pengguna.

Kualiti Keychron Q1 juga agak baik dan berada dalam kategori premium mampu milik. Saya tidak ada banyak isu sepanjang penggunaan, cuma jika saya habiskan lagi wang tambahan dan masa untuk menukar suis dan span – ia mungkin boleh menjadi satu papan kekunci endgame saya.

Pro

  • Binaan premium, kemas dan mudah untuk diubahsuai
  • Boleh digunakan terus keluar dari kotak jika ambil set siap pasang
  • Kebebasan pengguna untuk kustomasi sepenuhnya
  • Pakej pembelian lengkap untuk yang pengguna baru
  • Kabel bersirat/bergelung jenis aviator C-C disediakan
  • Aksesori lengkap untuk mengubahsuai diberikan
  • Harga mampu milik untuk papan kekunci tersuai 75%

Kontra

  • Kekunci yang tidak memaparkan lampu RGB dengan baik
  • Bunyi bising yang sedikit menjengkelkan jika tidak ubahsuai dengan sempurna
  • Suis yang tidak begitu berkualiti berbanding jenis taktil lain
  • Tiada sokongan sambungan secara nirwayar
Komen