Komputer riba gaming ROG Flow X13 diperkenalkan oleh ASUS pada tahun lepas sebagai pengenalan baru dimana komponen-komponen komputer berkuasa boleh dimuatkan didalam sebuah rangka yang padat dan ringan.

Kelebihan ROG Flow X13 khususnya ialah ia tampil dengan rekaan paparan 360 darjah dimana engselnya boleh memusingkan paparan komputer riba ini untuk menjadikannya sebagai sebuah tablet komputer yang berkuasa.
Pada tahun ini, ASUS telah mengemaskini komputer riba tersebut dengan komponen terbaru daripada AMD dan juga NVIDIA, termasuklah penggunaan CPU AMD Ryzen 6800HS dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti.

Dari segi paparan pula ROG Flow X13 ini hadir dengan paparan sesentuh bersaiz 13 inci dengan pilihan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz, ataupun resolusi 4K dengan kadar segar semula 60Hz. Paparan ini dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass untuk memastikan bahawa skrin tidak mudah retak sekiranya skrin sesentuh digunakan secara agresif.
Dari segi penawaran palam, komputer riba ini masih lagi menawarkan pilihan palam yang mencukupi, seperti palam HDMI, USB 3.2 Type-A dan Type-C, bersama-sama sokongan untuk WiFi6.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudah memasuki pasaran pada harga RM6599 dan boleh dibeli sekarang melalui kedai-kedai pengedar mereka. Setiap pembelian komputer riba ini juga akan hadir dengan kod langganan Microsoft PC Game Pass untuk sebulan.