Adakah era kereta kebal utama (MBT) sudah berakhir? Ini ialah persoalan yang mula ditanya oleh penganalisa ketenteraan selepas melihat bagaimana kereta kebal musnah di Chechnya, Syria, Azerbaijian dan terkini di Ukraine. Ramai mula melihat MBT yang berat sudah ketinggalan seperti kapal perang battleship yang pupus pasca Perang Dunia Kedua.
Jawapan kepada soalan ini masih belum ditemukan lagi dan oleh itu Rheimetall telah memperlihatkan konsep MBT moden mereka KF51 Panther di acara Eurosatory 2022. Rekaan KF51 adalah mirip dengan sebuah Leopard 2 dengan beberapa perubahan.
Pertama sekali meriam utama adalah dari kaliber 130mm Rheinmetall Future Gun System (FGS) dengan rekaan smoothbore. Ini membolehkan ia melancarkan pelbagai jenis peluru seperti APFSDS, HEAT dan yang boleh diprogramkan. Sistem memasukkan peluru adalah secara automatik bagi mempercepatkan proses menembak.
Sistem pelindungan aktif akan menangkis sebarang jenis serangan termasuk dari atas menggunakan ATGM. Di Ukraine kesemua jenis perlindungan pasif seperti ERA tidak mampu mengelakkan kereta kebal musnah kerana serangan misil dari atas yang mempunyai lapisan pelindung lebih nipis.
Tiga krew sahaja diperlukan untuk beroperasi. Dua dalam turet dan satu lagi di posisi pemandu. Seorang lagi krew boleh ditambah untuk mengawal sistem dron yang boleh digunakan bagi tujuan pemantauan medan perang atau senjata yang boleh berlegar sebelum menyerang musuh.
Kelebihan KF51 terletak pada beratnya yang hanya sekitar 59 ton yang jauh lebih ringan berbanding MBT seperti M1A2 dan Leopard 2. Ini membolehkan ia bergerak lebih pantas dan tangkap di medan perang sekiranya diserang.