Selepas hampir 27 tahun, kini sudah tiba masanya untuk pelayar web popular dunia, Internet Explorer pencen dan bersara sepenuhnya.
Microsoft kini menamatkan sokongan untuk pelayar web Internet Explorer, dan meminta para pengguna untuk beralih ke pelayar web Microsoft Edge.
Internet Explorer pada awalnya telah diperkenalkan pada tahun 1995, dan disertakan secara terbina pada sistem operasi Windows.

Apa pun, dengan perkembangan era internet dan web, pelayar web Internet Explorer agak lambat berkembang atau menerima kemaskini – membuatkan ramai beralih ke alternatif seperti Google Chrome dan Firefox dalam menikmati sejumlah teknologi baharu.
Internet Explorer pada suatu ketika dahulu pernah mempunyai pegangan pasaran sekitar 90% dalam arena pelayar web – tetapi kini arena tersebut diterajui Google Chrome dengan pegangan sebanyak 65%.
Namun, kini, “anak” kepada Internet Explorer, iaitu Microsoft Edge mula menerima sokongan daripada sejumlah pengguna, dan ramai mula beralih menggunakannya dari hari ke hari.