Cari @ Amanz

Microsoft Surface Laptop Go 2 Akan Tiba Ke Pasaran Tempatan Pada Bulan Julai Ini

Oleh Nazrin

Link Copied!

Pada awal bulan ini, Microsoft telah memperkenalkan komputer riba mampu-milik mereka, Microsoft Surface Laptop Go 2 secara rasmi.

Terkini, laporan daripada Lowyat.Net telah mengesahkan bahawa Microsoft Malaysia mengemaskini laman sesawang mereka dengan butiran mengenai kehadiran komputer riba tersebut di pasaran tempatan pada bulan Julai ini.

Microsoft Surface Laptop Go 2 tampil dengan paparan 12.4-inci PixelSense dengan nisbah paparan 3:2 dan resolusi 1536 x 1024. Apa yang menarik adalah, cip pemprosesan yang digunakan kali ini lebih berkuasa iaitu Intel Core i5-1135G7 dengan GPU Intel Iris Xe yang dipadankan dengan memori 4GB atau 8GB RAM LPDDR4x serta storan dalaman 128GB atau 256GB SSD yang boleh ditukar. Pilihan 16GB turut ditawarkan tetapi hanya untuk pengguna perusahaan.

Berita baik adalah, tiada lagi pilihan storan 64GB eMMC yang perlahan. Sokongan pengimbas cap jari turut dikekalkan, tetapi pada model yang lebih premium dan tiada pada model asas. Untuk kamera, ia masih menggunakan kamera 720p HD f/2.0. Manakala untuk audio, speaker Omnisonic dengan Dolby Audio Premium disertakan dan mempunyai dwi-mikrofon bertaraf studio.

Bateri dikatakan boleh bertahan sehingga 13.5 jam dengan pengecasan USB-C atau Surface Connect. Sambungan USB-A dan port bicu audio 3.5mm turut disertakan. Sokongan WiFi 6 dan Bluetooth 5.1 turut ada pada komputer riba ini untuk kemudahan pengguna.

Buat masa ini, konfigurasi khusus, harga dan tarikh jualan untuk komputer riba Microsoft Surface Laptop Go 2 ini tidak diketahui lagi, tetapi dengan pengesahan bahawa ia akan diperlihatkan pada bulan hadapan. kami jangkakan bahawa Microsoft Malaysia akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.


Komen ()